PL: Villa Kecewakan Spurs Di Gelanggang Sendiri

Emiliano Buendia meraikan gol kemenangan buat Aston Villa menentang Spurs pada 19 Oktober 2025. Foto AFP
LONDON, 19 Okt – Aston Villa bangkit bergaya untuk menewaskan Tottenham Hotspur selepas jaringan individu Morgan Rogers dan penyudah lewat Emiliano Buendia memastikan kemenangan dramatik buat skuad kendalian Unai Emery.
Masuk sebagai pemain gantian, Buendia muncul wira perlawanan apabila meledak gol kemenangan pada minit ke-77 menerusi rembatan rendah ke penjuru gawang disambut sorakan penuh emosi Emery di tepi padang.
Ia merupakan kemenangan ketiga buat Villa dalam Liga Perdana Inggeris (PL) musim ini namun ia adalah kemenangan kelima berturut-turut dalam semua pertandingan, sesuatu yang sukar dijangka selepas Spurs mendahului seawal minit kelima.
Gol pembukaan tuan rumah dijaringkan Rodrigo Bentancur selepas situasi kelam-kabut di depan gawang.
Bermula dengan hantaran silang Mohammed Kudus, tandukan Joao Palhinha mengembalikan bola ke kawasan bahaya sebelum Bentancur menyambar bola lantun untuk menewaskan Emiliano Martínez dari jarak lapan ela.
Namun dalam aksi yang berlangsung dalam hujan lebat, Rogers menyamakan kedudukan menerusi gol pertamanya musim ini – rembatan menarik dari jarak 20 ela yang menewaskan Guglielmo Vicario selepas bijak mencari ruang di celah empat pertahanan Spurs.
Ketika perlawanan dilihat bakal berakhir dengan keputusan seri, Matty Cash menghantar bola jauh dari kawasan pertahanan mencari Digne di sayap kiri.
Pemain Perancis itu melorongkan bola untuk Buendia menyempurnakan gol kemenangan yang memastikan tiga mata berharga buat Villa. – AGENSI
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
