Dua Maut Pesawat Kargo Terbabas Di Hong Kong

Pesawat Emirates SkyCargo yang dikendalikan oleh syarikat penerbangan Turkiye, Air ACT, dilapor gagal dikawal sebaik mendarat di landasan utara Lapangan Antarabangsa Hong Kong dan terjunam ke laut pada 19 Oktober 2025. Foto Reuters

HONG KONG, 20 Okt – Dua kakitangan Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong maut, selepas sebuah pesawat kargo yang tiba dari Dubai terbabas dari landasan dan menjunam ke laut, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.53 pagi itu, pesawat Emirates SkyCargo penerbangan EK9788 yang dikendalikan oleh syarikat penerbangan Turkiye, Air ACT, dilapor gagal dikawal sebaik mendarat di landasan utara selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Al Maktoum (DWC) di Dubai.

Pesawat Boeing 747-481 (BDSF) dengan nombor pendaftaran TC-ACF itu dilapor terbabas ke arah kiri ketika proses pendaratan sebelum separuh bahagian badannya terjunam ke dalam laut berhampiran hujung landasan.

Pesawat Emirates SkyCargo yang dikendalikan oleh syarikat penerbangan Turkiye, Air ACT, dilapor gagal dikawal sebaik mendarat di landasan utara Lapangan Antarabangsa Hong Kong dan terjunam ke laut pada 19 Oktober 2025. Foto Reuters

Menurut sumber, pesawat berkenaan turut melanggar sebuah kenderaan perkhidmatan darat, menyebabkan satu tayar kenderaan itu tercabut dan mengalami kerosakan teruk.

Dua pekerja lelaki yang berada di dalam kenderaan tersebut tercampak ke laut akibat hentaman kuat.

Pasukan bomba berjaya menemui kedua-dua mangsa sekitar jam 5 pagi.

Pemandu kenderaan yang tidak sedarkan diri dihantar ke Hospital North Lantau namun disahkan meninggal dunia, manakala seorang lagi penumpang disahkan maut di lokasi kejadian.

Empat kru penerbangan yang berada di dalam pesawat berkenaan bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Operasi menyelamat diteruskan sepanjang pagi dengan kerjasama pasukan bomba, polis marin serta perkhidmatan udara Hong Kong, yang menggunakan bot dan helikopter bagi meninjau kawasan sekitar.

Landasan utara lapangan terbang berkenaan kini ditutup sementara bagi membolehkan siasatan dijalankan, sambil menambah landasan selatan dan tengah akan terus beroperasi.

Data daripada laman penjejak penerbangan Flightradar24 menunjukkan pesawat EK9788 beralih ke arah kiri secara tiba-tiba selepas mendarat.

Akibat insiden itu, penerbangan Cathay Pacific CX851 yang dijadualkan mendarat selepasnya terpaksa membatalkan pendaratan dan dialihkan ke landasan selatan. – REUTERS

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *