PL: Tolak ‘Penumpang’ Dalam Skuad The Reds

Skuad Liverpool berlepas ke Istanbul pada 28 September bagi menghadapi perlawanan Liga Juara-Juara menentang Galatasaray awal pagi 1 Oktober 2025 (waktu Malaysia). Foto Liverpool FC
LONDON, 30 Sep – Florian Wirtz didakwa ‘merosakkan keseimbangan’ skuad Liverpool selepas pemain Jerman itu masih gagal menyerlah meskipun dibeli The Reds dengan harga 116 juta pound (RM657 juta), tegas lagenda Manchester United, Wayne Rooney.
Wirtz, 22, tiba di Anfield dengan reputasi tinggi selepas membantu Bayer Leverkusen menjuarai Bundesliga 2023-24 tanpa kalah namun prestasinya hambar di Liga Perdana Inggeris (PL) selepas enam perlawanan liga.
Sehingga kini, Wirtz masih belum mampu menyinar seperti mana ditunjukkannya di Bundesliga apabila masih tiada gol atau bantuan jaringan dalam lapan penampilan keseluruhan.

Ketika menentang Crystal Palace, dia gagal menyudahkan peluang terbuka dari jarak dekat sebelum digantikan Frimpong pada minit ke-74.
Prestasi buruk Wirtz menyaksikan dia dikeluarkan dalam semua perlawanan yang diturunkan sebagai kesebelasan utama, sekali gus menimbulkan tanda tanya mengenai keyakinan Arne Slot terhadapnya.
Rooney yang juga bekas penyerang Three Lions mengkritik mengenai kegagalan Wirtz memberi sumbangan besar di Anfield sehingga dianggap ‘penumpang’ dalam skuad termahal kelab gergasi England itu setakat ini.

Katanya, penyerang Hungary, Dominik Szoboszlai lebih sesuai berbanding Wirtz dalam sistem Slot dan terbukti ketika menjaringkan gol kemenangan ke atas Arsenal awal bulan ini.
“Dia pemain hebat, tapi buat masa ini saya rasa dia merosakkan keseimbangan Liverpool. Dengan Mo Salah masih ada, ditambah barisan depan baharu, dia yang paling ketinggalan.
“Jika perlu pilih, saya pilih Szoboszlai. Wirtz bukan pemain tengah ketiga, dia lebih kepada penyerang,” katanya.

Sementara itu, Wirtz mengakui kepada Sky Germany bahawa tempoh awal di Anfield mencabar dan detik sukar dalam kariernya.
“Saya mahu sumbang gol atau bantuan, tapi saya cuba bertenang. Ia cuma fasa. Bila saya lalui ini, semuanya akan baik,” jelasnya.
Sekiranya Writz gagal menyerlah menentang Galatasaray di RAMS Arena awal pagi esok, berkemungkinan dia akan tidak disenaraikan dalam kesebelasan utama menentang United pada 19 Oktober depan.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
