PL: Tiada Ucapan Selamat Tinggal Buat Isak, Newcastle ‘Koyak’?

Latihan pertama Alexander Isak di kem latihan Liverpool berjalan lancar setelah berjaya keluar dari ‘kepompong’ Newcastle United pada 1 September 2025. Foto Liverpool FC

NEWCASTLE, 2 Sep – Perpindahan Alexander Isak ke penyandang juara Liga Perdana Inggeris (PL) Liverpool dengan yuran rekod British 125 juta pound (RM776 juta) sudah dilengkapkan namun tanpa ucapan terima kasih daripada Newcastle United, walaupun penyerang utama Sweden itu pernah menjadi wira kelab.

Dalam kenyataan rasmi, Newcastle hanya menggunakan sebanyak 37 perkataan bagi mengumumkan pemergian Isak, tanpa menyebut golnya di final Piala Carabao (EFL) yang menamatkan penantian trofi 56 tahun, mahupun sumbangannya membawa kelab itu layak ke Liga Juara-Juara sebanyak dua kali.

Isak, 25, menjaringkan 62 gol dalam 109 penampilan sejak tiba dari Real Sociedad pada tahun 2022, tetapi cara keluar yang kontroversi – termasuk enggan berlatih dan bermain serta menuduh kelab memungkiri janji – dipercayai menjadi punca nada dingin perpisahan terbabit.

Kenyataan pertama Alexander Isak di Anfield sejurus berpindah dari Newcastle United yang mungkin mencetuskan ‘perang dingin’ hingga membuatkan The Magpies ‘koyak’ pada 2 September 2025. Foto Liverpool FC

Kenyataan rasmi kelab hanya berbunyi: “Newcastle United mengumumkan penjualan penyerang Alexander Isak ke Liverpool dengan bayaran rekod British yang signifikan. Pemain antarabangsa Sweden itu menyertai Magpies dari Real Sociedad pada tahun 2022 dan membuat 109 penampilan dalam semua kejohanan.”

Ironinya, pada malam sama peminat Newcastle menyambut ketibaan penyerang baharu, Yoane Wissa dari satu lagi kelab PL, Brentford, walaupun Wissa sebelum ini meninggalkan bekas kelabnya dalam keadaan hampir sama seperti Isak.

Saga perpindahan Isak mendominasi musim panas, dengan ketiadaannya dalam jelajah pramusim Asia dan hanya berlatih bersendirian.

Walaupun Eddie Howe sebelum ini menegaskan peluang untuk Isak kembali ke pasukan masih ada, pengambilan Nick Woltemade dan Wissa akhirnya membuka jalan untuk penyerang utama itu meninggalkan St James’ Park.

Isak juga tidak diturunkan ketika bekas kelabnya tewas 2-3 kepada The Reds, sekali gus menguatkan spekulasi ketika itu bahawa hubungan dingin terus meretak hinggalah berjaya ke Anfield.

The Reds kini mempunyai lebih banyak pilihan di bahagian serangan selain Isak iaitu Mohamed Salah, Hugo Ekitike, Cody Gakpo, Federico Chiesa dan Rio Ngumoha.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *