Kes Zara: Wanita Keluar Ucapan Hasutan Pada Himpunan Ditahan

Suspek wanita berusia 23 tahun diberkas kira-kira 12.30 tengah hari tadi di kawasan Batu 4, Jalan Apas pada 2 September 2025.
TAWAU, 2 Sep – Seorang wanita berusia 23 tahun dipercayai mengeluarkan ucapan berbaur hasutan semasa Himpunan Solidariti ‘Justice For Zara’ di Tawau Ahad lepas, berjaya ditahan polis tengah hari tadi.
Ketua Polis Tawau Jasmin Hussin berkata, suspek diberkas kira-kira 12.30 tengah hari tadi di kawasan Batu 4, Jalan Apas.
Penahanan boleh dibuat walaupun tanpa waran dan polis sedang merakam percakapan suspek bagi melengkapkan siasatan, tambahnya.

“Wanita tersebut ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.
Jasmin berkata, kertas siasatan dibuka susulan tiga laporan diterima mengenai ucapan suspek yang didakwa berunsur hasutan terhadap Yang Dipertua Negeri Sabah Musa Aman dalam himpunan tersebut.
Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai agar tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam atau menyentuh sensitiviti pihak tertentu.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
