Maklumat Palsu Di TikTok, Polis Giat Kesan Dua Individu

Pengarah JSJ Bukit Aman Datuk M Kumar berkata, siasatan berhubung penularan kandungan berkenaan dilakukan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian D5, JSJ Bukit Aman.
KUALA LUMPUR, 2 Sep – Polis membuka kertas siasatan terhadap dua pemilik akaun TikTok atas dakwaan hasutan dan menyebar maklumat tidak benar yang ditularkan di media sosial secara berasingan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, kes pertama membabitkan hantaran berhubung isu kematian pelajar tingkatan satu Zara Qairina Mahathir, manakala kes kedua yang mengaitkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Israel.
“Kedua-dua pemilik akaun terbabit sudah dikenal pasti dan kedua-duanya tidak mempunyai sebarang perkaitan. Usaha mengesan suspek terbabit kini sedang giat dijalankan.
“Siasatan berhubung penularan (kandungan) berkenaan dilakukan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian D5, JSJ Bukit Aman,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Kumar berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Beliau memberi amaran kepada mana-mana individu yang dengan sengaja membuat, memuat naik, berkongsi atau menyebarkan hantaran berunsur hasutan, berita tidak benar atau apa-apa kandungan yang boleh menimbulkan kegusaran awam serta menggugat keharmonian masyarakat.
Tegasnya, tindakan itu adalah satu kesalahan dan mereka ingkar berdepan tindakan tegas tanpa kompromi.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

