PL: Taktikal Guardiola Akhirnya Makan Diri Sendiri

MANCHESTER, 22 Sep – Tindakan taktikal Pep Guardiola yang menggunakan pendekatan bertahan selepas gol pendahuluan Erling Haaland, akhirnya memakan diri selepas jaringan minit akhir Gabriel Martinelli memastikan Arsenal mengikat Manchester City 1-1 di Stadium Emirates, awal pagi tadi.
City bermula cemerlang menerusi gol Haaland seawal minit kesembilan, namun Guardiola mengambil pendekatan lebih berhati-hati pada babak kedua apabila mengeluarkan penyerang Norway itu serta Phil Foden, sebelum menukar formasi kepada lima pertahanan.
Langkah itu ternyata mengundang padah apabila City hanya mencatat 32.8 peratus penguasaan bola, rekod terendah pernah direkodkan mana-mana pasukan bimbingan Guardiola dalam aksi Liga Perdana.

Martinelli meledak gol penyamaan selepas bijak melepasi perangkap ofsaid hasil lorongan Eberechi Eze sebelum menewaskan Gianluigi Donnarumma dengan penyudah tenang.
“Saya tidak percaya ada lagi rekod baharu untuk saya di negara ini,” kata Guardiola berseloroh.
“Kami tidak dibina untuk bertahan dengan lima pemain, tetapi kadang-kadang ia perlu. Arsenal lebih baik malam ini, perkara begitu boleh berlaku, dalam 10 tahun, sekali seperti ini tidak mengapa.”

Menggunakan taktikal yang lebih sinonim dengan seteru lamanya, Jose Mourinho, ia memperlihatkan betapa terdesaknya Guardiola untuk meraih tiga mata.
Namun, percubaan itu sia-sia apabila City kini sekadar di tangga kesembilan, lapan mata di belakang pendahulu, Liverpool.
Pengendali dari Sepanyol itu juga mengakui eksperimen itu memberi tekanan kepada dirinya.
“Saya menderita. Saya tidak suka cara itu. Tetapi jika lawan bermain lebih baik, kita harus terima dan bertahan dengan apa yang ada.
“Minggu ini kami bertemu dua pasukan elit, Napoli dan Arsenal, dan terpaksa bermain dengan corak permainan berbeza,” katanya.
Walaupun kecewa dengan gol penyamaan Arsenal, Guardiola tetap mengambil sisi positif daripada persembahan anak buahnya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

