Pendakwaan Kemuka 28 Alasan Batalkan Pembebasan Syed Saddiq

Pihak pendakwaan selaku perayu memfailkan petisyen rayuan berkenaan dengan menamakan Syed Saddiq, 33, selaku responden.
KUALA LUMPUR, 22 Sep – Kes menyeleweng dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) membabitkan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memasuki ‘episod baharu’ apabila pihak pendakwaan mengemukakan 28 alasan di Mahkamah Persekutuan di sini supaya mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang melepas dan membebaskan Ahli Parlimen Muar itu daripada tuduhan berkenaan.
Pihak pendakwaan selaku perayu memfailkan petisyen rayuan berkenaan dengan menamakan Syed Saddiq, 33, selaku responden.
Mengesahkan perkara berkenaan, Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin ketika dihubungi Sinar Harian berkata, mahkamah tertinggi wajar mengembalikan semula sabitan dan hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, sekali gus mengetepikan keputusan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan pada 25 Jun lalu.

Berdasarkan notis yang difailkan, perayu berkata, wang yang diperoleh tidak boleh dianggap sebagai hak mutlak responden kerana ia dikutip khas untuk tujuan kempen parti dan tidak sepatutnya dimasukkan ke dalam akaun peribadi.
Pada 25 Jun lalu, Syed Saddiq bernasib baik apabila Mahkamah Rayuan di sini melepaskan dan membebaskannya daripada sabitan dan hukuman atas empat kes terbabit, tujuh tahun lalu.
Ia berhubung satu kes subahat pecah amanah dana berjumlah RM1 juta, satu pertuduhan salah guna harta (RM120,000) dan dua pengubahan wang haram (AMLA) masing-masing (RM50,000).
– Oleh Noor Azlida Alimin
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
