Akibat Cuai, Wanita Indonesia Didenda RM2,000

Tertuduh, Dewinta Tefa, 36, membuat pengakuan bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa. Foto Hiasan
PARIT, 22 Sep – Hukuman denda RM2,000 dikenakan Mahkamah Majistret di sini terhadap seorang wanita warga Indonesia atas pertuduhan cuai sehingga menyebabkan kematian anak bongsunya pada Khamis lalu.
Majistret Nurul Izalina Rajai menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Dewinta Tefa, 36, membuat pengakuan bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa cuai sehingga menyebabkan kematian Arkan Andre Soveralasit di sebuah rumah di Jalan Sungai Jejawi, Kampung Sungai Dua, Kota Setia, Perak Tengah, kira-kira jam 5.30 pagi, 18 September lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Tertuduh yang juga ibu kepada enam anak dilihat sebak dan menangis di kandang pesalah sebaik ditunjukkan gambar bayi lelakinya yang berusia dua bulan dan lokasi kejadian.
Peguam bela tertuduh, Nurul Syuhada Mohd Yusof memberitahu mahkamah anak guamnya tidak pernah terlibat dengan sebarang kes jenayah dan memohon hukuman denda paling minimum.
Wanita itu yang menetap di negara ini sejak 2022 adalah suri rumah, manakala suaminya bekerja sebagai buruh ladang kelapa sawit dengan pendapatan sekitar RM1,500 sebulan.
Tertuduh kemudian membayar denda berkenaan.
Pada 20 September lalu, media melaporkan seorang bayi lelaki berusia dua bulan meninggal dunia dipercayai tertindih badan ibunya ketika tidur.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web


