PL: ‘Superstar’ United Mula Hilang Percaya Terhadap Amorim

Sejak Amorim mengambil alih pada November lalu, United mengutip hanya 31 mata daripada 31 perlawanan liga, terburuk antara 17 kelab yang kekal sepanjang tempoh itu. Foto Reuters

LONDON, 16 Sep – Pemain bintang Manchester United dilaporkan semakin hilang keyakinan terhadap bos mereka sendiri, Ruben Amorim.

Bagaimanapun pengurusan kelab masih menyokong pengurus yang sedang tertekan itu biarpun berdepan satu lagi hari malang pada aksi musuh tetangga.

Difahamkan beberapa pemain tidak bersetuju dengan sistem tiga pertahanan yang terus menjadi pilihan pengendali dari Portugal itu.

United tewas 0-3 di tangan Pep Guardiola dan Manchester City di Etihad, keputusan yang menyaksikan mereka hanya mengutip empat mata daripada empat perlawanan.

Statistik menunjukkan pengendali Manchester United itu kini memegang rekod terburuk dalam kalangan pengurus Liga Perdana Inggeris (PL). Foto Manchester United

Ia adalah permulaan terburuk musim Liga Perdana Inggeris (PL) sejak diperkenalkan pada 1992, ditambah pula penyingkiran memalukan daripada Piala Liga di tangan kelab divisyen empat, Grimsby Town bulan lalu.

Amorim menegaskan selepas perlawanan beliau tidak akan mengubah formasi 3-4-2-1 walaupun dikritik hebat.

Beliau berkata, hanya pengurusan kelab boleh menentukan sama ada mereka mahu menamatkan khidmatnya jika sistem itu tidak dianggap jalan terbaik.

Ruben Amorim pernah terfikir mahu meninggalkan United sejak tekanan bertambah apabila tewas kepada Grimsby Town pada saingan Liga Inggeris pada 27 Ogos 2025. Foto Reuters

Penyerang legenda, Wayne Rooney, yang kini menjadi pengulas, mendedahkan beliau menonton perlawanan bersama beberapa bekas rakan sepasukan dan semuanya sukar memahami gaya permainan United di bawah Amorim.

Menurut Rooney, skuad itu kelihatan lebih buruk berbanding ketika di bawah Erik ten Hag. Difahamkan, ada juga pemain semasa yang berkongsi kebimbangan sama.

Pemilik bersama Jim Ratcliffe dilihat menutup muka dengan tangan di Etihad, tanda kekecewaan selepas beliau meluluskan perbelanjaan besar bernilai £220 juta (RM1.25 bilion) pada musim panas lalu.

Beberapa nama sudah berada dalam pengurusan United andai mereka membuat keputusan memecat Ruben Amorim yang dilanda krisis di Old Trafford. Foto Football 365

Menyingkirkan Amorim, 40, ketika ini hanya akan memaksa satu lagi proses pembinaan semula di Old Trafford.

Bercakap dalam rancangan The Wayne Rooney Show, bekas penyerang England itu berkata: “Kami semua menonton, tetapi sukar mahu memahami corak permainan United. Apa pola yang ada? Apa langkah yang boleh memperbaiki pasukan? Sukar untuk dijawab.”

Sejak mengambil alih pada November lalu, Amorim hanya mengutip 31 mata daripada 31 perlawanan dengan 16 daripadanya kalah.

Ia adalah kutipan mata terendah berbanding 17 kelab yang beraksi dalam dua musim terakhir PL.

Perbelanjaan musim panas Manchester United mencecah RM1.1 bilion tetapi pasukannya masih belum mencatat sebarang kemenangan pada musim ini apabila tewas di tangan Arsenal dan seri dengan Fulham.

United menamatkan musim lalu di tangga ke-15, manakala kekalahan kepada Spurs pada final Liga Europa bermakna mereka tiada aksi Eropah buat kali kedua sejak persaraan Alex Ferguson pada 2013.

Seterusnya, Red Devils akan berdepan satu lagi cabaran getir apabila juara dunia, Chelsea bertandang ke Old Trafford hujung minggu ini.

United menafikan skuad mereka sudah hilang kepercayaan terhadap Amorim dan menegaskan beliau masih mendapat sokongan penuh bilik persalinan.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *