Banjir Sabah: Lepas 18 Jam SAR, Kanak-Kanak 10 Tahun Ditemui

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan pihak berkuasa di Kampung Marahang Gana, Papar pada 15 September 2025. Foto JBPM Sabah

PAPAR, 16 Sep – Selepas hampir 18 jam operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan dalam tragedi tanah runtuh di Kampung Marahang Gana, Papar, semalam, akhirnya menemukan mayat kanak-kanak yang tertimbus.

Mangsa, Kemiey Asphereynda Benny, 10 tahun, yang juga korban terakhir, ditemukan pada jam 8.45 malam sebelum berjaya dikeluarkan sepenuhnya pada jam 1.48 pagi tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Mohd Pisar Aziz berkata mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan pihak berkuasa di Kampung Marahang Gana, Papar pada 15 September 2025. Foto JBPM Sabah

Terdahulu, ibu mangsa, Wong Moi Ling, 34, dan adiknya, Christen Kell Benny, 6, ditemui lebih awal masing-masing pada jam 4.20 petang dan 4.25 petang.

Menurut Pisar pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 9.20 pagi sebelum sepasukan anggota bergegas ke lokasi.

“Sebaik tiba, didapati tanah runtuh menghempap sebuah rumah dengan tiga mangsa dilaporkan tertimbus.

Peruntukan segera sebanyak RM10 juta diumum Perdana Menteri bagi membantu mangsa banjir yang melanda Sabah pada 15 September 2025. Foto pembaca

“Operasi mengeluarkan mangsa dijalankan oleh pasukan bomba dengan bantuan agensi penyelamat lain, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) , Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Rela,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Semua mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak (KKM) dan seterusnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Operasi tamat sepenuhnya pada jam 2.05 pagi.

Dalam kejadian jam 9.20 pagi semalam, rumah keluarga berkenaan ranap ditimpa tanah runtuh menyebabkan tiga beranak itu tertimbus di bawah runtuhan.

– Oleh Safwan Sawi

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *