PL: Siapa ‘Tiga Calon’ Ganti Amorim?

Apakah Sir Jim Ratcliffe telah menyenarai pendek tiga calon yang berpotensi untuk menggantikan Amorim selepas United tewas 1-2 kepada Brentford pada 27 September 2025.

MANCHESTER, 29 Sep – Masa depan Ruben Amorim di Manchester United kembali hangat diperkatakan selepas kekalahan 2-1 kepada Brentford di Stadium Gtech menyaksikan rekod hambar pengendali dari Portugal itu berterusan dengan 17 kekalahan dalam 33 aksi Liga Perdana Inggeris sejak mengambil alih jawatan.

Walaupun lembaga pengarah masih menyokong Amorim, laporan menyebut kelab sudah meninjau calon pengganti berpotensi jika prestasi buruk berpanjangan. Antara nama yang disebut ialah Oliver Glasner (Crystal Palace), Andoni Iraola (Bournemouth) dan Fabian Hurzeler (Brighton).

Glasner, 51, mencipta sejarah bersama Palace musim lalu dengan menjulang Piala FA pertama kelab itu dan kini mengekalkan rekod tanpa kalah, termasuk menumbangkan Liverpool 2-1. Namun, sistem 3-4-2-1 yang digunakannya hampir sama dengan taktikal Amorim – sesuatu yang boleh menjadi penghalang.

Pemain Brentford berjaya mengasak pertahanan Manchester United bagi mendahului 1-0 pada aksi di Stadium Komuniti Gtech pada 27 September 2025.

Iraola pula membawa Bournemouth ke tangga kesembilan musim lalu, manakala musim ini The Cherries mengejutkan ramai apabila berada di tempat ketiga walaupun kehilangan tonggak utama seperti Dean Huijsen, Ilya Zabarnyi dan Milos Kerkez.

Di Brighton, Hurzeler yang menggantikan Roberto De Zerbi tahun lalu berjaya menamatkan musim di tempat kelapan dan baru sahaja membimbing The Seagulls menundukkan Chelsea 3-1 untuk naik ke tangga ke-10.

Spekulasi turut menyebut nama Xavi, namun setakat ini United belum menunjukkan minat secara rasmi.

Amorim, yang dilantik pada November lalu menggantikan Erik ten Hag, menandatangani kontrak dua setengah tahun. Namun musim sulungnya berakhir dengan United di tempat ke-15 – pencapaian terburuk sejak penyingkiran pada tahun 1974.

Gol pertama Brentford hadir seawal minit ke-8 yang memulakan episod duka Manchester United di Stadium Komuniti Gtech pada 27 September 2025.

Kelab sudah berbelanja lebih 256.82 juta pound (RM1.56 bilion) untuk enam pemain di bawahnya, tetapi kini mereka terperosok di tangga ke-14.

United bakal berdepan Sunderland di Old Trafford minggu depan sebelum aksi getir menentang Liverpool di Anfield pada 19 Oktober – venue yang tidak menyaksikan kemenangan Red Devils sejak Januari 2016.

Amorim bagaimanapun menegaskan keyakinannya: “Saya sentiasa yakin kerana saya tahu apa yang perlu dilakukan. Bila kalah, anda kembali bekerja semula dan berjuang untuk satu kemenangan yang boleh mencipta momentum.”

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *