PL: Sepakan Cantik Szoboszlai Tambah Kekecewaan Arsenal

Pemain Liverpool Dominik Szobozslai meraikan jaringan cantik minit ke-83 yang menghampakan Arsenal ketika aksi Liga Perdana Inggeris di Anfield, Liverpool pada 31 Ogos 2025. Foto Liverpool FC

LIVERPOOL, 31 Ogos – Sepakan percuma menakjubkan Dominik Szoboszlai minit ke-83 menjadi pemisah menyakitkan dalam pertembungan dua pencabar utama kejuaraan Liga Perdana Inggeris (PL) apabila Liverpool menewaskan Arsenal 1-0 di Anfield.

Perlawanan yang penuh taktikal dan tegang itu seakan berakhir tanpa jaringan, sebelum pemain tengah Hungary itu meledak dari jarak 25 ela, menyaksikan bola meluncur masuk menerusi tiang kanan gol untuk memastikan Liverpool kekal sebagai satu-satunya pasukan dengan rekod 100 peratus kemenangan selepas tiga perlawanan.

Ini juga adalah kemenangan ketiga berturut-turut yang diraih menerusi jaringan lewat permainan selepas kemenangan dramatik 4-2 ke atas Bournemouth dan 3-2 terhadap Newcastle United.

Ryan Gravenbech menghalang kemaraan pemain Arsenal dalam pertembungan sengit Liga Perdana Inggeris di Anfield pada 31 Ogos 2025. Foto AFP

Walaupun skuad kendalian Arne Slot masih dalam proses pembentukan susulan rombakan besar selepas menjuarai liga musim lalu, kehadiran barisan serangan berbahaya terus menjadi senjata utama mereka.

Dengan pemain seperti Florian Wirtz, Mohamed Salah, Cody Gakpo dan Hugo Ekitike, Liverpool kekal pasukan yang perlu ditewaskan.

Malah, mereka dijangka mengukuhkan skuad lagi sebelum jendela perpindahan ditutup dengan sasaran termasuk penyerang Newcastle, Alexander Isak dan kapten Crystal Palace, Marc Guehi.

Pertahanan Liverpool Ibrahima Konate mengekang asakan penyerang Arsenal pada aksi di Stadium Anfield, Liverpool pada 31 Ogos 2025. Foto Getty Images

Arsenal, yang membelanjakan lebih 250 juta pound (RM1.42 bilion) musim ini untuk memburu kejuaraan pertama sejak 2004, dilanda pelbagai masalah dalam aksi ini.

Tanpa Bukayo Saka dan Kai Havertz yang cedera, barisan serangan kendalian Mikel Arteta tampak tumpul. Viktor Gyokeres, yang ditandatangani dari Sporting Lisbon, gagal mencabar gandingan pertahanan Liverpool yang diketuai Virgil van Dijk.

Malah, mereka turut kehilangan tonggak pertahanan William Saliba seawal minit ke-5 akibat kecederaan, digantikan oleh Christhian Mosquera.

Dominik Szoboszlai meraikan jaringan gol kemenangan bersama rakan sepasukan ketika menewaskan Arsenal 1-0 pada aksi di Anfield, Liverpool pada 31 Ogos 2025. Foto: Reuters

Walaupun jentera serangan Liverpool masih kelihatan belum serasi sepenuhnya, Arsenal turut gagal memanfaatkan kelemahan itu.

Pemain kontroversi, Noni Madueke, yang mengisi kekosongan ditinggalkan Saka, menjadi ancaman terbesar Arsenal namun kurang tajam di depan gawang.

Milos Kerkez, yang bergelut sejak tiba di Anfield, beberapa kali ditewaskan dalam situasi satu lawan satu, termasuk satu rembatan Madueke yang diselamatkan secara terdesak.

Liverpool sebenarnya menjaringkan gol pada minit ke-60 namun dibatalkan oleh VAR selepas Gakpo dikesan ofsaid sebelum insiden huru-hara melibatkan David Raya, Wirtz dan Ekitike.

Namun begitu, detik itu menaikkan semangat Anfield sebelum Szoboszlai muncul wira.

Arsenal sempat menuntut sepakan penalti selepas Joe Gomez mengasari Eberechi Eze, namun rayuan itu tidak dilayan.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *