PL: Brighton Terus Malukan Manchester City

Pemain gantian Brajan Gruda muncul wira Brighton apabila menjaringkan gol kemenangan menewaskan Manchester City 2-1 ketika aksi di Stadium Amex, Falmer pada 31 Ogos 2025. Foto Brighton and Hove Albion
LONDON, 31 Ogos – Bekas juara Liga Perdana Inggeris (PL), Manchester City terus dilanda badi apabila tewas kali kedua berturut-turut selepas dikejutkan Brighton 1-2 dalam aksi penuh drama di Stadium Amex di sini, sebentar tadi.
Pada perlawanan di stadium keramat itu, skuad The Citizens membariskan kesebelasan terbaik dengan Erling Haaland memacu jentera serangan dalam usaha memburu kemenangan selepas tewas kepada Tottenham Hotspur 0-2 minggu lalu.
Haaland mempamerkan bisa tersendiri penampilan ke-100 PL dengan meledak gol ke-88 pada minit ke-34 selepas menerima hantaran Omar Marmoush.

Namun, pasukan tuan rumah mempamerkan kebangkitan pada babak kedua selepas dihadiahkan sepakan penalti pada minit-65 selepas bola terkena tangan Matheus Nunes ketika situasi set-piece.
Kesempatan itu digunakan oleh pemain berpengalaman, James Milner untuk menyamakan kedudukan.
Gol tersebut menaikkan semangat The Seagulls apabila pemain gantian, Brajan Gruda meledak gol kemenangan pada masa kecederaan dengan keputusan 2-1 kekal hingga wisel penamat.
Sementara itu, dalam satu lagi aksi PL, West Ham berjaya melakar kejutan dengan menewaskan Nottingham Forest 3-0 hasil jaringan Jarod Bowen, Lucas Paqueta dan Callum Wilson.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
