PL: Sambutan Kejuaraan Liverpool Meriah Dengan Ratusan Ribu Berarak Di Jalan Raya

Juara Liga Perdana Inggeris musim 2024/25 Liverpool meraikan kejuaraan liga dengan menaiki kenderaan khas membawa skuad The Reds menyusuri jalan raya sekitar Liverpool pada 26 Mei 2025. Foto Liverpool FC
LIVERPOOL, 26 Mei – Juara Liga Perdana Inggeris (PL) musim 2024/25 Liverpool mencetus fenomena di media sosial seluruh dunia apabila sambutan luar jangkaan turut disaksikan di sepanjang jalan di bandaraya itu hari ini.
Dari Miami sehingga Sydney, jutaan peminat kelab bola sepak tersohor England itu meraikan kemenangan menjuarai liga bersama-sama skuad di sini yang berarak sejak jam 11 pagi waktu tempatan.
Ratusan ribu peminat skuad itu yang datang dari London, Newcastle, Sheffield dan sekitar Eropah meraikan kejayaan menggengam trofi juara liga dengan tema ‘Ours Again’ (Milik Kita Lagi).
Skuad kendalian Arne Slot itu mengumpul 84 mata, jauh meninggalkan pesaing terdekat Arsenal yang sekadar berpuas hati buat musim ketiga berturut-turut.

Liverpool kini menjulang kejuaraan liga ke-20, sama dengan Manchester United tetapi muncul sebagai kelab Inggeris paling berjaya dalam sejarah.
Suasana di Merseyside digamatkan lagi dengan kehadiran konvoi perarakan diketuai bintang sensasi Mesir Mohamed Salah dan kapten Virgil van Dijk selain para pemain The Reds yang kali terakhir menjulang kejuaraan pada musim 2019/20.
Pada aksi terakhir liga semalam, keputusan seri 1-1 menentang Crystal Palace pada Ahad sudah cukup melengkapkan musim bergaya The Reds hasil gol penyamaan lewat Salah yang memadamkan gol pembukaan Ismaila Sarr di Anfield.

Dengan kejuaraan liga dipastikan ketika berbaki empat perlawanan, aksi malam ini dimainkan dalam suasana gembira dan penyokong Palace – yang turut bergembira selepas kejayaan pada final Piala FA hujung minggu lalu – menyertai mereka dengan laungan dan nyanyian “juara.”
Sarr merembat masuk pada minit kesembilan selepas dia mendapat ruang susulan hantaran Tyrick Mitchell, yang merampas bola hantaran jauh Conor Bradley.
Trent Alexander-Arnold, yang diejek sesetengah peminat selepas mengumumkan dia akan meninggalkan pasukan itu, dibawa masuk selepas rehat bagi penampilan ke-354 dan terakhir buat Liverpool.

Produk akademi Liverpool itu, yang dilapor akan berpindah ke Real Madrid, hampir mencetus umpanan gol buat Darwin Nunez dengan satu hantaran memukau yang turut disaksikan bekas pengurusnya Jurgen Klopp, namun penjaga gol Palace, Dean Henderson sudah bersedia.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
