ASEAN 2025: PM Anwar, Dr Wan Azizah Hoskan Majlis Makan Malam Gala Rai Pemimpin ASEAN, GCC, China Di KLCC

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail meraikan para pemimpin asing dari kalangan pemimpin ASEAN, China dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dalam majlis Makan Malam Gala (Gala Dinner) sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di Kuala Lumpur pada 26 Mei 2025. Foot Facebook Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 26 Mei – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail meraikan para pemimpin asing dari kalangan pemimpin ASEAN, China dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dalam majlis Makan Malam Gala (Gala Dinner) sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan sidang-sidang berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.

Majlis makan malam itu diadakan bagi meraikan perpaduan, diplomasi dan warisan budaya yang kaya di rantau ini serta memperkenalkan warisan dan budaya Malaysia kepada tetamu asing usai sidang kemuncak dan majlis menandatangani Deklarasi Kuala Lumpur 2045 pada sebelah siang.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail meraikan para pemimpin asing dari kalangan pemimpin ASEAN, China dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dalam majlis Makan Malam Gala (Gala Dinner) sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di Kuala Lumpur pada 26 Mei 2025. Foot Facebook Anwar Ibrahim

Acara berprestij itu berlangsung di Dewan Pameran 4 dan 5 Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), dengan ketibaan tetamu jemputan dan delegasi bermula 8 malam, diikuti dengan tayangan video yang mengetengahkan Kepimpinan Malaysia ASEAN 2025.

Antara yang hadir di majlis makan malam itu ialah pemimpin dari negara ASEAN, Putera Mahkota Kuwait Sheikh Sabah Khaled Al-Hamad Al-Sabah, Ahli Majlis Tertinggi Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Pemerintah Ras Al Khaimah (RAK) Sheikh Saud bin Saqr Al Qasimi dan Perdana Menteri, China Li Qiang.

Antara persembahan yang ditampilkan menyaksikan pertunjukan tarian kebudayaan yang meriah, bermula dengan lagu-lagu ASEAN yang dipersembahkan oleh penyanyi tanah air Bob Yusof, Asmidar dan Yasmin Aziz, dengan iringan muzik orkestra.

Sementara lagu yang dipersembahkan oleh penyanyi itu ialah “Sabai Sabai” dan “Oh Oh Timor”, yang memikat penonton dan menyebabkan ramai yang tersenyum termasuk Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra dan Timor-Leste, Kay Rala Xanana Gusmao yang memberi isyarat tanda ‘bagus’.

Ia diikuti dengan persembahan artis terkenal, Datuk Zainal Abidin, yang menyampaikan lagu “Hijau”, dengan iringan kumpulan kebudayaan, dan lagu “Ikhlas Tapi Jauh”.

Segmen seni diteruskan dengan “Wira Perwara”, persembahan kebudayaan yang mempesonakan, menampilkan MPO dan rombongan PERMATA Seni Tari.

Penyanyi yang pernah memenangi pelbagai anugerah, Shila Amzah kemudiannya mempersembahkan lagu “Wau Bulan” dan “Zheng Fu”, dengan iringan kumpulan budaya Mind’ance dan Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO).

Terdahulu dalam ucapannya, Anwar berkata Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC)-China yang julung-julung kali diadakan, menandakan satu lembaran baharu dalam bidang kerjasama strategik antara ketiga-tiga entiti berkenaan.

Anwar menyifatkan transformasi luar biasa yang dilalui negara GCC sebagai “ekonomi paling pesat berkembang dan paling aman di dunia”, dipacu oleh teknologi baharu dan kecerdasan buatan (AI).

Anwar turut menekankan bahawa ASEAN menganggap China sebagai sahabat yang amat dihargai, dan menambah meskipun berdepan realiti geopolitik kompleks, rantau ini komited kepada penglibatan yang konstruktif.

“Ia merupakan pertemuan pemikiran (untuk) mereka yang mahu membangunkan negara, yang percayakan kemerdekaan, hak asasi, demokrasi serta mereka yang ingin meningkatkan perdagangan dan pelaburan,” katanya pada majlis makan malam bersempena dengan Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan sidang kemuncak berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini, malam ini.

Dalam pada itu, Anwar turut menyatakan penghargaan atas kehadiran Putera Mahkota Kuwait, Sheikh Sabah Khaled Al-Hamad Al-Sabah dan Perdana Menteri, China Li Qiang ke Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China dan menyifatkan kehadiran mereka sebagai lambang persahabatan dan kepercayaan yang berkekalan antara rakan serantau.

“Ia bukan sekadar pertemuan antara negara, tetapi sokongan, kasih sayang dan kepercayaan pemimpin ASEAN tiada tandingannya dan istimewa.

“Kepada Perdana Menteri Li Qiang, yakinlah bahawa ASEAN di sini sebagai sahabat China, dan kerjasama ini perlu diteruskan atas kepercayaan bersama,” kata beliau.

Putera Mahkota Kuwait mengetuai delegasi ke sidang kemuncak berkenaan, mewakili Emir Kuwait Sheikh Meshal Al-Ahmad Al-Jaber Al-Sabah.

Di bawah Kepengerusian ASEAN 2025 bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan”, Malaysia menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, yang turut menyaksikan penganjuran sidang kemuncak tiga pihak antara ASEAN, GCC dan China.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *