Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan pesanan kepada penduduk yang terjejas akibat banjir di Sabah pada 12 September 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim via Bernama

KUALA LUMPUR, 12 Sep – Berikutan situasi banjir yang melanda Sabah ketika ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim menitipkan pesanan kepada penduduk terjejas yang mula dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di negeri itu.

Menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat, Perdana Menteri menasihatkan para penduduk di kawasan berisiko agar sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa termasuk berpindah segera apabila diarahkan bagi memastikan keselamatan nyawa keluarga menjadi keutamaan.

Anwar yang juga Menteri Kewangan turut menggesa pihak berkuasa dan agensi keselamatan meneruskan dan meningkatkan usaha menyelamat, di samping memastikan kebajikan serta keperluan asas mangsa dipenuhi dengan perlindungan terbaik sehingga keadaan kembali pulih.

Mangsa banjir di Beaufort ditempatkan di PPS Selagon pada 10 September 2025. Foto APM Sabah

“Saya berduka dengan perkhabaran bencana banjir yang semakin memburuk di Sabah tatkala lebih daripada 400 mangsa di Penampang dan Beaufort terpaksa meninggalkan kediaman untuk berlindung di pusat pemindahan sementara.

“Doa kami sentiasa bersama kalian,” katanya bagi mententeramkan perasaan penduduk yang dipindahkan ke PPS sejak beberapa hari lalu.

Untuk rekod, jumlah mangsa banjir yang berlindung di PPS meningkat kepada 409 orang daripada 110 keluarga pagi ini, berbanding 154 orang daripada 54 keluarga malam tadi.

Mangsa banjir di Beaufort ditempatkan di PPS Selagon pada 10 September 2025. Foto APM Sabah

Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JBPN) Sabah, seramai 255 mangsa daripada 56 keluarga dipindahkan di Penampang, manakala 154 mangsa daripada 54 keluarga dipindahkan di Beaufort.

Difahamkan seorang warga emas yang tertimbus dalam runtuhan tanah di Penampang telah berjaya ditemukan JBPM dan kemungkinan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan membantu sebaik mungkin bagi menyelaras situasi semasa.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *