PL: Mampukah Slot Calar Ego United Di Old Trafford?

Tarikh 5 Mac 2023 terus menjadi mimpi ngeri United yang dimalukan 0-7 Liverpool di Anfield sehingga kini. Foto AP via Getty Images
MANCHESTER, 31 Ogos – Pengendali Liverpool, Arne Slot berdepan ujian besar pertamanya dengan kunjungan ke Manchester United, manakala Newcastle dan Tottenham turut bertembung Ahad ini dengan harapan untuk menolak keraguan awal musim mengenai kemampuan mereka berakhir tercicir daripada kelompok empat teratas.
Slot melakukan permulaan sempurna menggalas tugas getir menggantikan Jurgen Klopp dengan dua kemenangan daripada dua perlawanan pertamanya dalam Liga Perdana Inggeris (PL) tanpa melepaskan sebarang gol.
Peluang pertamanya untuk benar-benar memukau penyokong Liverpool hadir di satu daripada gelanggang yang kurang digemari Klopp ketika dua kelab paling berjaya dalam bola sepak Inggeris bertembung di Old Trafford.
Di sebalik Liverpool menikmati kedudukan liga yang lebih unggul dalam sembilan tahun di bawah kendalian Klopp, beliau hanya menang dua daripada 11 kunjungannya ke United.

Catatan itu termasuk kekalahan 4-3 pada suku akhir Piala FA dan seri 2-2 dalam PL musim lalu yang menyaksikan kejatuhan Liverpool dalam beberapa bulan terakhir kendaliannya.
Kemenangan ke atas United membolehkan Slot berada pada kedudukan selesa selaku calon juara selain penyandang Manchester City dan Arsenal seperti musim terakhir Klopp Mei lalu.
Namun tekanan lebih dirasai seorang lagi pengurus Belanda di kem tuan rumah.
Erik ten Hag menerima sokongan pemimpin struktur baharu sukan United pada hujung musim lalu di sebalik berakhir di tangga kelapan – persembahan terburuk kelab itu dalam PL.
Harapan untuk melihat kebangkitan baharu buat Red Devils kelihatan terjejas dalam minggu pembukaan musim baharu.
Gol kemenangan Joshua Zirkzee dalam penampilan sulungnya sekurang-kurangnya memastikan kemenangan bertemu Fulham, namun kekalahan 2-1 di tangan Brighton hujung minggu lalu menyaksikan cerita lama United bergelut di bawah kendalian Ten Hag sebelum ini berulang.
Satu lagi kekalahan di laman sendiri kepada musuh tradisi akan menjejaskan masa depan bekas bos Ajax itu hanya tiga perlawanan pada musim baharu.
Dua kunjungan terakhir Tottenham ke St James’ Park menyaksikan mereka dibelasah 6-1 dan 4-0 oleh The Magpies.
Kedua-dua pasukan mengumpul empat mata daripada dua perlawanan pertama tetapi mempunyai alasan untuk membuktikan impian mereka untuk kembali ke kancah Liga Juara-Juara musim depan.
Newcastle mengatasi pasukan baru naik divisyen Southampton 1-0 dengan 10 pemain pada minggu pembukaan tetapi bernasib baik untuk seri 1-1 di Bournemouth.
Anak buah Eddie Howe turut memerlukan penentuan sepakan penalti untuk mengatasi Nottingham Forest dalam Piala Liga pada pertengahan minggu dan ada kekecewaan di Tyneside mengenai kegagalan mereka untuk mengukuhkan skuad dalam pasaran perpindahan.
Tottenham menang besar 4-0 ke atas Everton hujung minggu lalu tetapi keputusan seri 1-1 di Leicester mendedahkan kepincangan anak buah Ange Postecoglou beraksi di gelanggang lawan ketika mensia-siakan peluang dan cuai ketika bertahan menyebabkan mereka gagal meraih tiga mata.
Dua daripada empat pasukan yang masih mengekalkan rekod sempurna bertemu di Emirates apabila Arsenal melayan kunjungan Brighton.
The Seagulls sudah terbiasa pemain berbakat mereka dicuri kelab kaya dalam beberapa tahun kebelakangan tetapi kali ini Brighton muncul antara pasukan berbelanja paling banyak dalam divisyen itu.
Bos baharu Fabian Hurzeler disokong dengan hampir £200 juta (RM1.1 bilion) berbelanja terhadap lapan pemain baharu.
Pelaburan itu ternyata berbaloi dalam kemenangan ke atas Everton dan United, tetapi Hurzeler yang berusia 31 tahun sedar mengenai kehebatan pasukan yang akan ditemuinya malam esok.
“Mereka satu daripada pasukan terbaik di dunia ketika ini,” kata pengurus paling muda dalam sejarah PL itu.
“Mereka tidak banyak mempunyai kelemahan, mereka mempunyai kualiti dan jalan penyelesaian bagi semua posisi.
“Kami perlukan satu hari yang benar-benar bagus. Kami memerlukan persembahan individu, kerjasama sepasukan yang hebat. Kami ke sana untuk menang kerana skuad saya berpotensi melakukannya.” – AFP
JADUAL PL MINGGU INI
Malam esok
Arsenal mln Brighton (7.30 malam)
Brentford mln Southampton (10 malam)
Everton mln Bournemouth (10 malam)
Ipswich mln Fulham (10 malam)
Leicester mln Aston Villa (10 malam)
Nottingham Forest mln Wolves (10 malam)
Awal pagi Ahad
West Ham mln Manchester City (12.30 tengah malam)
Malam Ahad
Chelsea mln Crystal Palace (8.30 malam)
Newcastle mln Tottenham (8.30 malam)
Manchester Utd mln Liverpool (11 malam)
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
