Merdeka 67: Lebih 100,000 Banjiri Dataran Putrajaya Raikan Hari Kebangsaan 2024

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama-sama kira-kira 100,000 rakyat membanjiri Dataran Putrajaya sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2024. Foto Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

PUTRAJAYA, 31 Ogos – Sambutan Hari Kebangsaan 2024 menjadi saksi perpaduan dan prinsip kebersamaan dalam menyemai semangat patriotisme yang diwarnai kibaran Jalur Gemilang dan ratusan ribu hadiri di Dataran Putrajaya.

Bertemakan Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka, sambutan tahun ini juga menyaksikan pembabitan seramai 13,009 peserta persembahan dan perarakan, 112 haiwan dalam perkhidmatan, 439 aset darat dan udara daripada pelbagai agensi di lokasi acara sambutan.

Acara hari ini bermula dengan ketibaan pembesar negara termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Datuk Seri Fadillah Yusof.

Pancaragam Pusat Latihan Muzik Tentera Darat (Puzida) diketuai Kapten Mohd Rizuan Ramzi mendahului perarakan Hari Kebangsaan di Dataran Putrajaya hari ini. Foto Bernama

Sambutan secara rasmi bermula dengan keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah dengan menaiki kenderaan rasmi sekitar jam 8 pagi.

Ia disusuli lintasan hormat lima helikopter yang membawa Jalur Gemilang serta tembakan 14 das meriam melambangkan 14 negeri dalam Malaysia.

Lagu Negaraku kemudian berkumandang, serentak dengan acara menaikkan Jalur Gemilang, disusuli dengan bacaan ikrar Rukun Negara oleh pembesar negara dan hadirin.

Keberangkatan tiba Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah pada 8 pagi disambut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa.

Lebih membanggakan dan bagi menghargai pengorbanan petugas anggota keselamatan, bacaan ikrar Rukun Negara kali ini diketuai oleh Koperal Mohd Khairul Azhar Abbi Paisa bersama 66 pelajar dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Mohd Khairul adalah wira yang berjaya menewaskan pencerobohan Balai Polis Ulu Tiram, Johor yang turut mengorbankan seorang anggota polis pada Mei lalu.

Hadirin kemudian dipersembahkan dengan acara perbarisan dan perarakan membabitkan kontinjen kenegaraan, urus tadbir negara, konvoi Kembara Merdeka, ketenteraman awam dan keselamatan negara.

Suasana acara perbarisan dan perarakan pada sambutan Hari Kebangsaan Ke-67 bertemakan “Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka” di Dataran Putrajaya pada Sabtu. Foto Bernama

Dalam perarakan kali ini, seramai 100 pegawai kadet dari Akademi Latihan Ketenteraan Universiti Pertahanan Nasional dipertanggungjawab membawa Jalur Gemilang gergasi bersaiz 80 x 40 kaki.

Antara keunikan dalam acara persembahan tahun ini adalah perbarisan Kontinjen Komuniti Malaysia MADANI diterajui Kementerian Perpaduan Negara yang juga kontinjen terpanjang berpakaian etnik lengkap dengan aksesori, melambangkan kepelbagaian budaya masyarakat di negara ini.

Turut menarik perhatian adalah perarakan aset keselamatan dan pertahanan negara, antaranya oleh pasukan bomba, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Sudah pasti, acara nantikan hadirin adalah pertunjukan udara oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), antaranya dibarisi lima pesawat pejuang Sukhoi SU 30 MKM, pesawat F-18D Hornet dan Hawk MK 208.

Acara penuh gilang gemilang itu turut menampilkan kelainan dalam pertunjukan, terutama persembahan tarian ‘Stompers Cuci Rasuah’ yang dipersembahkan oleh Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara (JKKN).

Elemen persembahan itu dilihat sebagai simbolik kepada usaha kerajaan MADANI pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memperjuangkan membanteras rasuah serta memperkasakan tatakelola.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *