Merdeka 67: Persembahan ‘Cuci Rasuah’ Dedikasi Buat Ketegasan PM Anwar

Persembahan khas ‘Cuci Rasuah’ didedikasikan buat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas usaha beliau menoktahkan budaya jijik itu di negara ini. Foto Bernama
PUTRAJAYA, 31 Ogos – Persembahan ‘Cuci Rasuah’ menjadi acara penutup tirai sambutan Hari Kebangsaan 2024 yang didedikasi khas kepada perjuangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menoktahkan budaya jijik itu di negara ini.
Selari dengan ketegasan Perdana Menteri itu, persembahan selama kira-kira 10 minit itu mencuri tumpuan selain perarakan kontinjen ratusan agensi dan badan swasta dalam meraikan perayaan terbesar negara bagi mengingati tarikh perisytiharan kemerdekaan ke-67.
Persembahan buat julung kalinya itu memukau lebih 100,000 pengunjung berbilang kaum dan lapisan umur hadir memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan ke 67 yang berlangsung di Dataran Putrajaya, hari ini.

Pada sambutan kali ini pengunjung tidak melepaskan peluang berkumpul seawal pukul 1.00 pagi selain bermalam di Putrajaya dengan menyertai program Glamping Merdeka 2024.
Bertemakan “Malaysia MADANI Jiwa Merdeka” menjadi platform menterjemah aspirasi Malaysia MADANI dalam memperkukuh perpaduan rakyat, sekali gus menyemarakkan semangat cintakan tanah air.
Acara gilang gemilang itu disertai 17,000 peserta perbarisan dan perarakan melibatkan 59 kontinjen, 24 pasukan pancaragam dan 439 aset ketenteraan.
Tujuh komponen perarakan diperkenal antaranya Kontinjen Komuniti Malaysia MADANI, Kontinjen Kesejahteraan dan Keselamatan, Kontinjen Kenegaraan dan Kontinjen Kembara Merdeka Jalur Gemilang.

Kontinjen Komuniti Malaysia MADANI yang diterajui Kementerian Perpaduan Negara menjadi kontinjen terpanjang dengan 800 peserta berpakaian etnik lengkap dan beraksesori yang melambangkan kerencaman budaya masyarakat majmuk di negara ini.
Selain itu Polis Diraja Malaysia (PDRM) buat julung kali menampilkan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain dalam acara perbarisan kali ini.
Ruang udara Putrajaya digamatkan dengan persembahan formasi jet pejuang Sukhoi SU-30, Hornet dan Hawk manakala 250 anggota Tentera Malaysia (ATM) menguasai pentas perarakan dengan aksi memukau dan bertenaga.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
