PL: Guardiola ‘Sindir’ Arsenal

Guardiola menyindir Arteta menjelang aksi di Emirates yang menyaksikan skuad Manchester City belum yakin terhadap kemampuan mereka sendiri. Foto AFP
MANCHESTER, 20 Sep – Pep Guardiola memberi bayangan perbelanjaan Arsenal tidak menerima tahap penelitian yang sama seperti kelabnya menjelang pertembungan hangat Liga Perdana Inggeris (PL) di Stadium Emirates malam esok.
Skuad Mikel Arteta diperkukuh dengan perbelanjaan lebih £250 juta (RM1.41 bilion) pada pramusim, manakala juara bertahan Liverpool berbelanja lebih £400 juta (RM2.26 bilion) termasuk lebih £100 juta (RM565 juta) setiap seorang untuk Florian Wirtz dan Alexander Isak.
“Satu-satunya perkara yang ingin saya katakan kepada sahabat saya Mikel Arteta adalah jika beliau menang kejuaraan, ia hanya kerana beliau berbelanja besar, bukan kerana beliau bekerja keras atau kerana pemainnya,” kata Guardiola sambil berseloroh mengenai bekas pembantunya di City.

“Sama juga dengan Liverpool. Jika Arne (Slot) menang lagi, ia kerana beliau banyak berbelanja, bukan? Sebab bukan hanya Manchester City yang berbelanja, betul?
“Selama bertahun-tahun setiap kelab boleh buat apa yang mereka mahu. Saya tahu layanan terhadap mereka amat berbeza (berbanding City), tetapi jika mereka mahu berbelanja, itu pilihan mereka dan tiada masalah.”
City membelanjakan sekitar £150 juta (RM848 juta) pada jendela perpindahan pramusim, selain £180 juta (RM1.01 bilion) yang dilaburkan pada Januari lalu.
Musim lalu, City tewas 1-5 di Stadium Emirates dan Guardiola mengakui pasukannya berdepan cabaran sukar malam esok menentang Arsenal yang diperkukuh dengan kehadiran Eberechi Eze, Viktor Gyokeres dan Martin Zubimendi.
“Mereka berbelanja kerana percaya ia perlu untuk bersaing dengan pasukan terbaik di Liga Perdana dan Eropah dan mereka kini sudah berada di tahap itu,” kata Guardiola.
“(Arteta) menemui kelab dalam keadaan tertentu dan sedikit demi sedikit, jendela demi jendela, Arsenal semakin meningkat.
“Musim lalu di Eropah, mereka membuat lonjakan luar biasa dan bagi saya mereka kini pasukan paling kukuh,” tambahnya, merujuk kepada kejayaan Arsenal mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web


