PL: ‘Merseyside Derby’ Panaskan Pertembungan Liverpool-Everton

Mohamed Salah sekali lagi ditagih kudrat bersama Alexander Isak bagi menerobos gawang Everton ketika aksi ‘Merseyside Derby’ memulakan babak jam 7.30 malam 20 September 2025. Foto Liverpool FC
LONDON, 19 Sep – Pertembungan musuh setempat ‘Merseyside Derby’ bakal mencuri tumpuan seluruh dunia apabila pendahulu yang juga penyandang kejuaraan Liga Perdana Inggeris (PL), Liverpool menerima kunjungan Everton di Anfield dalam aksi yang dijangka panas minggu ini.
Anak buah Arne Slot sedang berada di kemuncak prestasi selepas sekali lagi merakam kemenangan dramatik 3-2 ke atas gergasi Sepanyol, Atletico Madrid dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) hasil jaringan minit akhir Virgil van Dijk.
Menariknya, Liverpool mencatat semua kemenangan musim ini menerusi jaringan dalam tempoh 10 minit terakhir setiap perlawanan.

“Kami cukup cergas untuk terus menekan hingga ke hujung perlawanan. Itu mentaliti pasukan ini,” kata Slot.
Sementara pemain rekod perpindahan Britain, Alexander Isak, yang baru dibeli dari Newcastle United pada tarikh tutup perpindahan, dijangka mendapat lebih banyak minit aksi selepas membuat penampilan sulung pertengahan minggu lalu.
Everton di bawah kendalian David Moyes pula tampil mengejutkan musim ini. Mereka kini di tangga keenam dengan tiga rekod bersih dalam lima perlawanan, selain mendapat suntikan kreativiti daripada Jack Grealish yang dipinjamkan daripada Manchester City.

Di Emirates, Arsenal yang menghuni tangga kedua akan menentang Manchester City dalam perlawanan yang boleh memberi kesan besar kepada perebutan kejuaraan kedua-dua kelab.
Arsenal hanya bolos sekali musim ini, manakala City yang berada di tangga kelapan kembali garang selepas membelasah Manchester United 3-0 minggu lalu hasil dua gol Erling Haaland.
Sementara itu, pengendali baharu Nottingham Forest, Ange Postecoglou, masih memburu kemenangan pertama apabila menentang Burnley. Forest kini di tangga ke-15, dua anak tangga di atas pasukan bimbingan Vincent Kompany itu.

Manchester United pula terus bergelut apabila menanti kunjungan Chelsea di Old Trafford pada saingan ‘blockbuster’ Ahad.
Tekanan semakin memuncak ke atas pengendalinya Ruben Amorim selepas berbelanja lebih 200 juta pound (RM1.1 bilion) tetapi hanya meraih keputusan hambar termasuk dimalukan 3-0 oleh City minggu lalu serta tersingkir awal dalam Piala Liga di tangan Grimsby Town.
Tottenham Hotspur di tangga ketiga mahu mengekalkan rentak cemerlang apabila melawat Brighton, manakala tiga pasukan tercorot – West Ham, Aston Villa dan Wolverhampton Wanderers – masing-masing memburu kebangkitan.

West Ham yang hanya menang sekali musim ini akan melayan Crystal Palace, Wolves menanti Leeds United, manakala Aston Villa yang masih belum menjaringkan gol liga akan menentang Sunderland.
Ramalan minggu kelima:
Liverpool 3 Everton 1
Burnley 0 Nottingham Forest 1
Brighton 2 Tottenham 2
West Ham 1 Crystal Palace 2
Wolves 1 Leeds United 1
Man United 1 Chelsea 3
Fulham 2 Brentford 1
Sunderland 0 Aston Villa 1
Bournemouth 1 Newcastle 2
Arsenal 2 Man City 2
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
