PL: Gagal ‘Jinakkan’ Wolves, Seri Umpama ‘Kalah’

Mikel Artera jelas kecewa apabila mensia-siakan peluang menjarakkan diri dengan City apabila seri 2-2 di Molineux pada 18 Februari 2026. Foto Arsenal
WOLVERHAMPTON, 19 Feb – Seri umpama macam ‘kalah’.
Itulah situasi melanda Arsenal yang merekod satu lagi statistik memalukan dalam Liga Perdana Inggeris (PL) apabila mensia-siakan kelebihan dua gol sebelum seri 2-2 dengan pasukan tangga tercorot liga Wolverhampton Wanderes (Wolves), awal pagi tadi.
The Gunners mendahului seawal minit kelima menerusi Bukayo Saka dan kelihatan hampir mengesahkan kemenangan apabila Piero Hincapie menggandakan kelebihan pada minit ke-56.
Namun Wolves bangkit lima minit kemudian menerusi rembatan Hugo Bueno sebelum Riccardo Calafiori mengecewakan pelawat apabila menjaringkan gol sendiri pada minit keempat masa kecederaan.

Keputusan itu menyaksikan Arsenal kini hanya lima mata di depan pencabar kejuaraan liga, Manchester City, yang beraksi kurang satu perlawanan.
Lebih memalukan, keputusan awal pagi tadi menyaksikan Arsenal mencatat rekod buruk: ia merupakan kali pertama dalam sejarah PL, pendahulu liga melepaskan kelebihan dua gol atau lebih kepada pasukan yang berada di dalam zon penyingkiran.
Wolves, yang sudah lama terperangkap di zon penyingkiran, hanya mengumpul 10 mata daripada 27 perlawanan, dengan satu kemenangan, 19 kekalahan, 18 gol dijaringkan dan 50 gol bolos – statistik terburuk liga utama.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
