PL: Dua Gol Diaz, Salah Pastikan Liverpool Benam Brentford

Aksi Mohamed Salah menjaringkan gol kedua Liverpool pada minit ke-70 dalam saingan Liga Perdana Inggeris di Anfield, Liverpool pada Ahad. Foto Reuters
LIVERPOOL, 25 Ogos – Liverpool merekod kemenangan meyakinkan 2-0 ke atas Brentford dalam aksi pantas kendalian Arne Slot di Anfield sebentar tadi.
Dua gol The Reds diperolehi menerusi Luis Diaz pada minit ke-13 sebelum Mohamed Salah melengkapkan kemenangan bergaya Kop dengan jaringan klasik minit ke-70.
Kemenangan tersebut menjadikan skuad Arne Slot mengekalkan rekod tanpa kalah dalam dua aksi pertama The Reds di Liga Perdana Inggeris (PL) musim ini.

The Reds menang tipis 1-0 di Ipswich Town pada aksi pembukaan musim baharu minggu lalu.
Gol pertama diraih hasil hantaran Diogo Jota yang berlari di tengah sebelum memberikan umpanan tepat ke belakang pertahanan lawan untuk Luis Diaz menewaskan Mark Flekken.
Memasuki babak kedua, Salah meledak kaki kiri yang melepasi Flekken setelah menerima hantaran cantik Diaz.
Slot diraikan penyokong Kop tatkala saingan berakhir biarpun masih dibayangi kelibat bekas pengurus Jurgen Klopp.
Ini adalah gol keenam Salah menentang Brentford dan tidak pernah gagal menjaringkan gol pada enam penampilan berturut-turut bersama The Reds.
Pengendali dari Belanda itu menjadi pengurus Liverpool pertama yang memenangi kedua-dua aksi pembukaan liga sejak Graeme Sounness melakukannya pada musim 1991/92.
Kemenangan ini kembali melonjakkan mereka di kedudukan keempat liga berkongsi enam mata dengan Manchester City, Brighton dan Arsenal yang menang kesemua dua perlawanan awal pada Sabtu dan Ahad.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
