PL: Cedera Saliba Tak Serius, Arsenal Sedia ‘Bedal’ Man City

Kecederaan William Saliba disahkan tidak serius dan akan beraksi menentang Manchester City pada 21 September 2025. Foto Reuters
LONDON, 6 Sep – Arsenal menarik nafas lega apabila pertahanan kentalnya, William Saliba mungkin tidak terlalu lama berada di bilik rawatan selepas kecederaan dialami ketika menentang pendahulu Liga Perdana Inggeris (PL), Liverpool dinilai tidak terlalu serius.
Perkembangan berkenaan menyaksikan pemain antarabangsa Perancis itu bakal kembali beraksi menjelang aksi getir menentang Manchester City yang tewas dua kali berturut-turut sebelum ini dalam saingan liga pada 21 September depan.
Kecederaan yang dialami ketika ini menyaksikan Saliba terpaksa disisihkan daripada aksi skuad kebangsaan Les Blues menghadapi saingan kelayakan Piala Dunia 2026 sekali gus tempatnya digantikan oleh Benjamin Pavard.

Arsenal sebelum itu terpaksa berdepan realiti kehilangan dua tonggak utama, Bukayo Saka dan Kai Havertz menyebabkan kecederaan Saliba menjadi tamparan hebat ketika mereka cuba menamatkan penantian untuk bergelar juara musim ini.
The Gunners berdepan beberapa perlawanan penting selepas aksi antarabangsa melibatkan pertemuan menentang Nottingham Forest, berdepan Athletic Bilbao dalam saingan Liga Juara-Juara (UCL) sebelum bertemu City.
Ketua Pegawai Eksekutif, Kitman Labs, Stephen Smith yang merupakan pakar kecederaan ahli sukan percaya peminat Arsenal mampu berharap dengan kepulangan Saliba apabila kecederaan dialami tidak terlalu serius.

“Hasil ujian mendapati tahap kecederaan ligamen Saliba tidak begitu ketara dan masih ada beberapa cara untuk membolehkan dia dapat beraksi semula dalam tempoh segera.
“Saya fikir tempoh rehat dua atau tiga minggu mencukupi untuk dia kembali ke padang seperti biasa,” katanya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
