Mampukah Skuad England Cabar Serbia?

Eberechi Eze melakukan serangan ketika England menewaskan Andorra 2-0 di Villa Park, Birmingham pada 6 September 2025. Foto Getty Images

BIRMINGHAM, 7 Sep – Thomas Tuchel mencabar skuad England untuk membuktikan sesuatu apabila berdepan Serbia dalam aksi penting kelayakan Piala Dunia, Rabu ini selepas pasukannya bergelut sebelum menang 2-0 ke atas pasukan kerdil, Andorra, awal pagi tadi.

Gol sendiri Christian Garcia pada separuh masa pertama di Villa Park disusuli tandukan Declan Rice selepas rehat memastikan pendahulu Kumpulan K itu meraih kemenangan keempat berturut-turut dalam kempen kelayakan.

Walaupun England kekal di landasan ke Piala Dunia tahun depan, persembahan kali ini sekali lagi mengecewakan dan menimbulkan persoalan mengenai kemampuan Tuchel membentuk pasukan mampu memenangi trofi daripada generasi berbakat yang dimilikinya.

England beraksi secara berkesan tetapi hambar, kekurangan kelicikan dan idea di kawasan serangan terakhir.

Tuchel mahu anak buahnya mempamerkan aksi lebih baik apabila berdepan ujian paling sukar dalam eranya setakat ini, iaitu bertemu pencabar utama Kumpulan K, Serbia, di Belgrade, Rabu ini.

“Kami akan cuba buktikan sesuatu, untuk menang dan tampil dengan persembahan lebih meyakinkan.

“Kami menjangka stadium yang penuh, penyokong yang fanatik. Kami juga perlu menyesuaikan diri dengan keadaan. Kami tidak tahu bagaimana keadaan padang, jadi tiada alasan.

“Kami bakal menentang pasukan yang sangat fizikal. Mereka akan menyerang kami secara satu lawan satu. Itu yang kami lihat setakat ini.

“Mereka ada kualiti tinggi di bahagian serangan, mereka bermain secara terus dan kami perlu tingkatkan permainan serta menyesuaikan diri. Kemudian buktikan bahawa kami sebuah pasukan yang kuat dan berada di landasan tepat,” katanya lagi.

Dengan masa semakin suntuk menuju Piala Dunia di Amerika Syarikat (AS), Mexico dan Kanada, Tuchel kini berdepan tekanan untuk membina pasukan yang memiliki identiti serta matlamat yang jelas.

Namun berdasarkan aksi hambar dalam perlawanan kelima di bawah bimbingannya, pengendali dari Jerman itu dilihat masih jauh daripada mencapai sasaran berkenaan.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *