Pearly-Thinaah Tetap Banggakan Rakyat Malaysia

Beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M Thinaah tetap membanggakan negara biarpun tewas pada aksi akhir Kejohanan Badminton Dunia BWF 2025 di Adidas Arena Paris pada 31 Ogos 2025. Foto BWF

PARIS, 31 Ogos – Hasrat untuk melihat lagu Negaraku berkumandang kali kedua di bumi Perancis tidak kesampaian selepas beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M Thinaah tewas kepada pasangan China, sebentar tadi.

Pada aksi yang berlangsung di Adidas Arena, Paris hari ini, Pearly Tan-Thinaah turun dengan misi mencipta kejutan ke atas Liu Sheng Shu-Tan Ning serta menamatkan deretan badi kekalahan sebelum ini, namun ia tidak menjadi kenyataan apabila mereka terpaksa akur tewas dalam pertarungan tiga set 14-21, 22-20, 17-21 dalam masa 1 jam 23 minit.

Di set pertama, pilihan utama kejohanan yang juga beregu nombor satu dunia, Sheng Shu-Tan Ning dilihat begitu garang dan tidak memberi belas kasihan apabila setiap kesilapan yang dilakukan oleh wakil negara dihukum dengan ‘smash’ bertenaga.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Tang Jie-Ee Wei menjadi juara dunia beregu campuran Kejohanan Badminton Dunia BWF 2025 pada 31 Ogos 2025. Foto X Anwar Ibrahim

Corak permainan agresif serta kepantasan mengambil peluang itu membolehkan mereka terus mengutip mata demi mata untuk mendahului sehingga memperoleh mata kemenangan dan membawa kelebihan di set seterusnya.

Menyedari perancangan yang tidak menjadi pada awal perlawanan, Pearly-Thinaah memperkemaskan semula corak permainan di set kedua dan mereka dilihat lebih baik serta meyakinkan selain tidak banyak kesilapan dilakukan.

Juara Terbuka Thailand itu terus mengatur beberapa pukulan yang lebih kemas termasuk bola ‘drop’ di depan jaring dan strategi yang disusun menjadi apabila mereka mendahului di pertengahan permainan.

Biarpun wakil China itu cuba mengejar, Pearly-Thinaah memastikan perlawanan diheret ke set ketiga.

Dalam misi hidup mati, Pearly-Thinaah cuba meneruskan momentum yang dicipta namun beberapa kesilapan tidak sepatutnya berlaku dan itu membuatkan Sheng Shu-Tan Ning tidak membenarkan skrip sama berulang. Mereka terus menekan wakil negara sebelum mengesahkan kemenangan untuk kejuaraan sulung buat gandingan China ini.

Meskipun tewas, pujian tetap harus diberikan kerana mempamerkan semangat juang cukup tinggi. Malah, mereka turut mencipta sejarah tersendiri selepas menjadi beregu wanita pertama dari Malaysia menyumbang pingat perak dan beraksi di final Kejohanan Dunia.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *