PL: Amorim Digesa Segera Tinggalkan United

Jamie Carragher dan Duncan Ferguson mengritik keras prestasi Amorim membimbing United bagi musim 2025/26. Foto Sky Sports
LONDON, 30 Sep – Ruben Amorim digesa segera tinggalkan Manchester United selepas prestasinya dilabel sebagai “bencana” oleh legenda Liverpool, Jamie Carragher.
Dalam program Monday Night Football terbitan Sky Sports, Carragher mengkritik keras permulaan buruk United musim ini di bawah Amorim yang musim lalu menamatkan saingan di tangga ke-15 Liga Perdana Inggeris, dan kini terperosok di tangga ke-14.
Kekalahan 3-1 di tangan Brentford pada Sabtu lalu menambah tekanan terhadap pengendali dari Portugal itu.

“Apa yang berlaku ini satu bencana. Sistemnya tidak pernah sesuai dengan tradisi Manchester United. Lebih cepat kelab buat keputusan, lebih baik untuk semua pihak,” kata Carragher.
Legenda Everton, Duncan Ferguson, turut bersuara dengan menyifatkan Amorim gagal mencari cara untuk mengubah keadaan. “Kalau kalah, anda perlu cuba sesuatu yang berbeza, bukan kekal dengan sistem sama,” kata Ferguson.
Carragher menambah, pihak pengurusan kelab juga perlu dipersalahkan kerana sejak awal tahu Amorim hanya akan berpegang pada sistem tiga bek yang menjadi pegangannya sejak di Sporting Lisbon.

“Dalam 49 perlawanan, 42 kali dia menukar tiga bek utama. Semua itu sudah diketahui pengurusan sebelum melantik dia.
“Pasukan ini ada pemain berkualiti, mereka boleh dengan mudah bermain sistem empat bek dengan Bruno Fernandes di nombor 10, Bryan Mbeumo di kanan, Matheus Cunha di kiri, dan Benjamin Sesko di depan. Itu cukup untuk bawa United ke tempat Eropah,” tambahnya.
Gary Neville juga sehaluan dengan Carragher, memberi isyarat bahawa bilik persalinan United kini hilang kepercayaan terhadap Amorim. Neville melabel keputusan taktikal menurunkan Mason Mount di posisi bek sayap kiri sebagai “tidak masuk akal” dan “memalukan.”

United akan menentang Sunderland sebelum rehat antarabangsa, sebelum berkunjung ke Anfield bertemu Liverpool — perlawanan yang mungkin jadi penentu nasib Amorim di Old Trafford.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
