Peserta Teruja Sertai Bengkel Pembuatan Tempe, Pertahan Warisan Kulinari Johor

Para peserta Kursus Pembuatan Tempe bergambar dengan Faizul (duduk, tengah), Siti Rasidah (kiri Faizul) dan Napsiah Khamis selepas menerima sijil penyertaan kursus yang diadakan di Kolej Komuniti Bandar Penawar pada 27 September 2025. Foto Faizul Abd. Ghani
PENDAPAT, 30 Sep – Mendalami ilmu pembuatan tempe bukan sahaja penting sebagai pengetahuan makanan tradisional, malah ia membawa nilai yang besar kepada generasi muda malah bagi pengusaha tempatan, khususnya bagi kaum wanita di negeri Johor.
Bagi menyokong pemerkasaan ekonomi di kalangan wanita di Johor, satu program dinamakan Bengkel Pembuatan Tempe telah diadakan di Kolej Komuniti Bandar Penawar dengan fokus memberi pendedahan kepada para wanita cara dan teknik pembuatan yang betul yang mampu menembusi pasaran luar.

Menurut Ketua Cabang KEADILAN Pengerang, Faizul Abd. Ghani, pihaknya dengan kerjasama Suara Wanita FELDA (SWADA) menganjurkan bengkel berkenaan tanpa mengenakan yuran penyertaan.
Program ini bermula pada jam 9 pagi itu diketuai oleh Siti Rasidah Rakidin selaku Pengerusi NGO SWADA yang berpengalaman dalam pembuatan tempe serta teknik-teknik yang betul daripada pemilihan kacang soya sebagai bahan utama dalam proses berkenaan.

“Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana Bengkel Pembuatan Tempe yang dianjurkan bersama SWADA (Suara Wanita FELDA) dan KEADILAN Cabang Pengerang telah berjaya dilaksanakan dengan penuh semangat siang tadi dan ia secara percuma, peserta tidak dikenakan yuran pendaftaran.
“Beliau dengan penuh dedikasi telah berkongsi ilmu serta kemahiran kepada para peserta yang kebanyakannya terdiri daripada wanita Felda dan penduduk setempat,” ujarnya.

Jelas Faizul, tujuan utama penganjuran bengkel ini adalah untuk membuka peluang menambah punca pendapatan bagi para peserta, khususnya suri rumah, selain memelihara kelestarian makanan tradisi Johor agar tidak ditelan arus zaman moden.
Para peserta didedahkan dengan proses sebenar pembuatan daripada pemilihan kacang soya berkualiti hinggalah proses pembungkusan yang betul bagi memudahkan proses pemasaran dan memperkenalkan produk berkualiti ke pasaran di luar Johor.

Seramai 40 peserta menyertai bengkel selama sehari ini yang rata-ratanya teruja dan menyifatkan ia bukan sahaja memperolehi ilmu pembuatan tempe bahkan menjadi antara pelopor mempertahankan identiti kulinari bangsa Johor di kalangan masyarakat.
“Usaha kecil ini sebenarnya memberi impak besar kerana ia bukan sahaja menyokong ekonomi keluarga, tetapi juga mengangkat semula warisan masyarakat kita yang kaya dengan identiti tersendiri.

“Saya merakamkan penghargaan kepada Puan Napsiah Khamis, Pengerusi NGO Bidadari Pusat yang turut hadir memberi sokongan moral, serta Saudara Nazrin yang menjadi antara penggerak awal memastikan bengkel ini dapat direalisasikan.
“Terima kasih juga kepada pihak penyedia lokasi, Kolej Komuniti Bandar Penawar, serta pimpinan KEADILAN iaitu YB DUN Bukit Batu, YB Parlimen Segamat, dan Ketua Cabang KEADILAN Tenggara yang sudi menaja dan menyokong kelancaran program ini,” ujarnya lagi.

Berikutan sambutan yang diterima amat menggalakkan, malah ramai peserta menyuarakan hasrat agar bengkel sebegini diperluas ke kawasan lain, pihaknya bersama SWADA berhasrat meganjurkan bengkel sebegini di lebih banyak kawasan bagi mendedahkan lebih ramai peserta kepentingan mengekalkan produk kulinari yang sinonim dengan bangsa Johor ini.
“InsyaAllah, dengan kerjasama erat antara NGO, institusi pendidikan, dan pimpinan masyarakat, kita akan terus memperbanyakkan program sebegini demi kesejahteraan rakyat.

“Semoga usaha kecil ini menjadi sebahagian daripada perjuangan besar kita dalam membina Harapan Madani di Johor,” ujarnya.
Bengkel sebegini bukan sahaja mampu mengeratkan hubungan di kalangan wanita bangsa Johor, malah menjadi satu pelantar penting memperkasa peranan wanita sebagai penggerak ekonomi tempatan seterusnya mampu menjadi pemain industri tempe bernilai tinggi pada masa-masa akan datang.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
