Pindaan Hak Kewarganegaraan Anak Lahir Luar Negara Dibentang Bulan Ini – PM Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Wanita Antarabangsa anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid, Petaling Jaya.

PETALING JAYA, 8 MacKerajaan akan membentangkan pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan hak kewarganegaraan anak yang lahir luar negara di Parlimen, bulan ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata pindaan itu antara lain membabitkan Perkara 14(1)(b) Perlembagaan Persekutuan yang mentakrifkan bahawa ibu bapa itu hanya merujuk kepada bapa.

Justeru, beliau berharap pindaan itu akan mendapat sokongan semua Ahli Parlimen.

“Kalau masih tidak boleh terima kenyataan dan perubahan ini, saya fikir (mereka) tidak layak menjadi Ahli Parlimen,” katanya dalam ucapan sempena Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2024.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Wanita Antarabangsa anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid, Petaling Jaya.

Disember lalu, Jabatan Peguam Negara sedang merangka draf cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan hak kewarganegaraan anak yang dilahirkan di luar negara hasil perkahwinan wanita rakyat tempatan dengan lelaki warga asing.

Draf itu dibuat bagi meminda Perkara 14(1)(b) untuk memasukkan perkataan ibu dengan tujuan membolehkan kewarganegaraan anak diperoleh secara kuat kuasa undang-undang.

Dalam pada itu, Anwar menyifatkan, perkataan ‘bapa’ dalam Seksyen 1(b) Bahagian II Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan sebelum ini agak pelik.

“Dalam Perlembagaan, Parents bagi perkataan Bahasa Inggeris adalah Father (bapa), saya tidak pernah dengar bahawa parents itu merujuk kepada bapa.

“Parents adalah ibu dan bapa, bagi saya itu (merujuk kepada father sahaja) adalah pelik. Jadi kita akan ubah segera, jadi perkataan bapa itu akan digantikan kepada ibu bapa atau sekiranya ibu dan bapa tidak sekali (bercerai), ia akan menjadi ibu atau bapa,” katanya.

Malah, beliau berkata, disebabkan isu itu, kerajaan terpaksa bergelut selama bertahun-tahun bagi menguruskan masalah berkenaan.

“Kita bentang pada Majlis Raja-Raja Melayu dan sukacita dimaklumkan, bahawa istilah bapa yang diiktiraf dalam Perlembagaan itu, dari segi hak anak warganegara, akan digantikan kepada ibu bapa atau ibu atau bapa.

“Saya bersyukur Alhamdulillah dan setelah begitu lama puluhan tahun perkara ini dibangkitkan, Kerajaan Madani di bawah Menteri Pembangunan Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, dapat lakukan pindaan sangat bererti ini,” katanya.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *