Kerajaan Jamin Tiada Campur Tangan Pindaan Perlembagaan Bersatu – Saifuddin Nasution

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika sidang media di Putrajaya. Foto Facebook Saifuddin Nasution Ismail
PUTRAJAYA, 8 Mac – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memberi jaminan tidak akan ada campur tangan politik dalam soal permohonan BERSATU untuk meminda perlembagaan parti itu yang diputuskan parti itu, pada Sabtu lalu.
Beliau menegaskan pihaknya tidak sekali-kali berbuat demikian dan menjadi satu kesilapan besar sekiranya pembangkang cuba mendakwa ada campur tangan politik dalam sebarang keputusan akan dibuat Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) kelak.
“Itu masalahnya, sebab mereka pernah buat campur tangan politik, jadi mereka fikir saya akan buat macam apa yang mereka buat.
“Dia pernah buat campur tangan politik ke atas akta pertubuhan, jadi mereka fikir Menteri Dalam Negeri ini akan buat seperti yang mereka buat, silap besarlah,” katanya pada sidang media di KDN di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, beliau belum menerima sebarang pemakluman daripada RoS sama ada BERSATU sudah menghantar permohonan bagi pindaan perlembagaan itu atau sebaliknya.
“Saya belum dapat apa-apa lagi setakat ini, mungkin mereka (BERSATU) ada hantar cuma saya belum dapat pemakluman lagi (daripada RoS),” katanya.
Sabtu lalu, BERSATU dilapor meluluskan Perkara 10 perlembagaan parti itu selepas mendapat sokongan 1,956 perwakilan yang hadir pada Perhimpunan Agung Khas di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Selayang.
Pindaan perlembagaan itu dibuat susulan tindakan enam Ahli Parlimen BERSATU yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.
Ia membabitkan Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul (Bukit Gantang); Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan); Zahari Kechik (Jeli); Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang); Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).
Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Razali Idris, dilaporkan berkata parti itu akan menyerahkan permohonan berkenaan dalam tempoh terdekat keputusan pindaan perlembagaan parti kepada RoS untuk diluluskan.
Beliau berkata menyuarakan keyakinan RoS tidak akan “menyusahkan” parti itu.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
