PGA Tumpaskan Kegiatan Seludup Gula, Minyak Masak Ke Thailand

Wajah suspek yang ditahan terkait barang kawalan yang cuba diseludup ke negara jiran oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara dalam Op Taring Wawasan Kelantan di Kampung Kulim Wakaf Bharu, Tumpat. Foto PGA Briged Tenggara

KOTA BHARU, 11 Nov – Sebanyak 13,000 kilogram (kg) gula untuk diseludup ke Thailand dirampas Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara dalam Op Taring Wawasan Kelantan di Kampung Kulim Wakaf Bharu, Tumpat semalam.

Komander Briged Tenggara PGA SAC Datuk Nik Ros Azhan Ab Hamid berkata rampasan dilakukan sepasukan anggota Batalion 8 pada 5 petang selepas menahan sebuah lori jenis Isuzu dipandu lelaki dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan di bahagian belakang lori, ditemui barangan runcit iaitu gula kasar tanpa dokumen yang sah.

“Suspek yang ditahan ialah seorang lelaki berumur 26 tahun dipercayai menjadi penghantar untuk menyeludup gula itu ke negara jiran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Antara barang kawalan yang cuba diseludup ke negara jiran oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara dalam Op Taring Wawasan Kelantan di Kampung Kulim Wakaf Bharu, Tumpat. Foto PGA Briged Tenggara

Beliau berkata keseluruhan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM40,285.20 dan kesemua barangan rampasan serta suspek dibawa ke Balai Polis Wakaf Bharu untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan pada 6 petang di kampung sama, anggota Batalion 8 turut menumpaskan kegiatan penyeludupan minyak masak.

Nik Ros Azhan berkata rampasan dilakukan selepas menahan sebuah lori jenis Daihatsu dan sebuah van jenis Toyota Hiace dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan.

“Hasil pemeriksaan ditemui 300 kotak minyak masak dalam dua kenderaan itu tanpa dokumen yang sah, manakala kedua-dua suspek berumur 56 dan 24 tahun dipercayai menjadi penghantar untuk menyeludup minyak masak berkenaan ke negara jiran.

“Anggaran nilai rampasan minyak masak berjumlah RM12,750 dan kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *