BUDI95 Buat Rakyat Lega, Jelas Terima Penjimatan Ketara

Orang ramai menunjukkan isyarat bagus semasa mengisi petrol RON95 bersubsidi menerusi insiatif BUDI MADANI RON95 di Kota Bharu pada 30 September 2025. Foto Bernama

KOTA BHARU, 30 Sep – Sejak tengah malam tadi, orang ramai terus berpusu-pusu mengunjungi stesen minyak berhampiran sebaik pelaksanaan BUDI MADANI RON95 (BUDI95) berkuat kuasa kepada lebih 16 juta penerima yang layak.

Pengenalan inisiatif BUDI95 oleh kerajaan bukan sahaja membantu meringankan beban kos bahan api, malah disambut baik oleh pelbagai lapisan masyarakat yang turut mengakui penjimatan ketara sejak ia mula dilaksanakan.

Mereka yang layak mula menikmati manfaat inisiatif BUDI95 yang menetapkan harga petrol RON95 pada kadar RM1.99 seliter, berbanding RM2.05 seliter sebelum ini dengan setiap individu diberi kelayakan hingga 300 liter sebulan.

Orang ramai berpusu-pusu mengisi petrol RON95 bersubsidi menerusi insiatif BUDI MADANI RON95 di Kota Bharu. Foto JaPen Kelantan

Tinjauan di beberapa stesen minyak di sini mendapati, proses pelaksanaan subsidi bersasar berjalan lancar dengan petugas stesen minyak bersedia membantu pengguna membuat semakan kelayakan menggunakan MyKad di pam.

Pada masa sama, orang ramai juga bersyukur dan berpuas hati dengan bantuan itu yang dapat meringankan kos perbelanjaan harian.

Pekerja swasta, Nik Ahmad Irfan Nik Hassamuddin, 29, berkata, inisiatif subsidi diperkenalkan kerajaan banyak membantunya menjimatkan perbelanjaan bahan api berbanding sebelum ini.

Orang ramai berpusu-pusu mengisi petrol RON95 bersubsidi menerusi insiatif BUDI MADANI RON95 di Kota Bharu. Foto JaPen Kelantan

“Kebiasaannya, saya belanja hampir RM400 sebulan untuk isi minyak, namun dengan adanya subsidi ini saya dapat jimat lebih banyak sekali gus mengurangkan tekanan terhadap kos sara hidup.

“Proses penggunaan subsidi ini sangat mudah dan mesra pengguna, malah kali pertama saya menggunakannya petugas di stesen minyak turut membantu dan menunjukkan langkah yang betul dan ia tidak merumitkan langsung,” katanya ketika ditemui di sebuah stesen minyak di Panchor, di sini, hari ini.

Seorang lagi pekerja swasta, Tengku Alam Tengku Abdullah, 61, menyifatkan pelaksanaan subsidi minyak bersasar membawa banyak kebaikan kepada rakyat.

“Inisiatif ini bukan saja membantu mengurangkan beban kos sara hidup rakyat, malah turut berperanan dalam mengekang ketirisan minyak yang sudah lama menjadi isu.

“Selain itu, inisiatif subsidi bersasar diperkenalkan kerajaan ini juga satu langkah yang tepat, menyeluruh dan wajar diteruskan demi kepentingan rakyat dan negara,” katanya.

Sementara itu, peniaga kedai runcit, Nur Fashiihah Eliya Mohd Asri, 28, berkata, dia ada menerima mesej pemberitahuan berkaitan inisiatif subsidi bersasar BUDI95 baru-baru ini.

“Hari ini, ketika saya datang untuk mengisi minyak, salah seorang petugas stesen bertanya sama ada saya menggunakan subsidi BUDI95 atau tidak. Pada mulanya, saya tidak mengendahkannya kerana menyangka prosesnya rumit.

“Namun, selepas diberikan penerangan oleh petugas pam minyak, saya terus ke kaunter untuk menyemak status kelayakan. Saya sangka proses pendaftaran ini susah, tetapi sebenarnya ia sangat mudah dan hanya mengambil masa beberapa minit saja untuk diselesaikan.

“Inisiatif ini banyak membantu saya menjimatkan perbelanjaan bahan api harian untuk berulang alik ke tempat kerja. Alhamdulillah, dengan adanya inisiatif saya dapat berjimat dan ia benar-benar membantu rakyat seperti saya dalam mendepani kenaikan kos bahan api,” katanya.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *