‘Pesan PM Anwar Kepada Saya…’ – Andre Lai

Pesanan dan amanat Perdana Menteri dan Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa majlis berbuka puasa di Seri Perdana pada Ramadan lalu akan sentiasa terpahat dalam minda seraya mengangkat agenda Malaysia MADANI buat seluruh rakyat Malaysia. Foto Facebook Andre Lai
PENDAPAT, 1 Mei – Salam Malaysia MADANI, Salam Hari Pekerja dan Salam Aidilfitri saya ucapkan.
Apa khabar PPR Gombak Setia? Apa khabar Wangsa Maju?
Pertama sekali, saya ingin mengucapkan selamat datang ke Majlis Sambutan Hari Pekerja dan Aidilfitri MADANI 2024. Saya amat berbesar hati melihat begitu ramai pengunjung, meskipun saya tahu hari ini ada jemputan beraya merata-rata pada hari cuti am ini. Ia menjadi pengiktirifan kepada pasukan kami hari ini yang telah bertungkus lumus beberapa hari ini.
Mungkin ada yang bertanya, mengapa saya memilih kawasan perumahan rakyat (PPR) untuk mengadakan rumah terbuka, sedangkan ada banyak pilihan di hotel atau restoran mewah. Terutama apabila saya merupakan Ketua Cabang KEADILAN Wangsa Maju, sebuah parti di mana presiden saya sendiri Dato Seri Anwar Ibrahim merupakan Perdana Menteri.

PPR Gombak Setia merupakan sebuah kawasan yang unik. Pertama, ia adalah projek rumah kos rendah dengan ramai golong pekerja B40. Kedua, jarang saya nampak keserasian antara semua unit komuniti, baik persatuan penduduk, KRT, surau dan NGO yang boleh duduk sebumbung seperti hari ini. Hari Raya, Hari Kebangsaan, dan Hari Pekerja mereka pun sambut bersama. Ia lebih menjimatkan masa dan kos penganjuran, selaras dengan intipati Malaysia Madani.
Saya mengimbas kembali asal usul parti saya sendiri, di mana ramai penggerak KEADILAN yang terawal datang dari kalangan akar umbi di PPR dan kampung tradisi. Mungkin pada awalnya, peneroka PPR datang dari luar Kuala Lumpur. Tetapi setelah berdekad bertapak di sini, maka PPR Gombak Setia sendiri telah menjadi kampong kepada ramai penduduk di sini. Ramai di kalangan penghuni telah mula berkecimpung di awal zaman reformasi, seperti Sdr Azmee, Naib Ketua Cabang KEADILAN Wangsa Maju.

Datuk Seri berpesan kepada saya, agar tidak lupakan akar umbi. Maka hari ini, KEADILAN menyambut nasihat PMX agar bersama akar umbi dalam sambutan Hari Pekerja dan Raya Aidilfitri. Dan telah menjadi pegangan saya agar kami dapat meraikan segala perbezaan, menyambut segala sambutan bersama, tidak kira apa jua bangsa dan pegangan agama.
Selain daripada jawatan parti, saya juga merupakan Ahli Lembaga Penasihat Bandaraya Kuala Lumpur. Selama ini, saya sering berhubung dengan DBKL berkenaan dengan masalah komuniti dan lantikan saya sebagai Penasihat mendekatkan saya lagi dengan pengurusan tertinggi DBKL. Ia memberi saya lebih makna untuk saya mengadakan rumah terbuka di Dewan Komunti Gombak.
Sebagai Penasihat, saya menjadi mata dan telinga kepada Datuk Bandar, oleh itu saya sentiasa turun padang untuk meneliti prestasi unit DBKL di peringkat akar umbi. Projek DBKL dalam peringkat sosio ekonomi, seperti Lestari Niaga yang diikhtiarkan oleh PMX mula membuahkan hasil.
Kalau tuan-tuan dan puan-puan perasan, di sepanjang Jalan Madrasah mula adanya naiktaraf gerai-gerai tepi jalan kerana PM ingin melihat Kuala Lumpur sebagai sebuah Bandaraya yang terkenal bukan sahaja dengan pencakar langit, tetapi dengan tarikan gerai dan budaya ‘street food’.
Sesungguhnya kita hanya mampu merancang, Tuhan yang Maha Esa menentukan segalanya. Apa yang kita rancang telah pun membuahkan hasil yang baik. Kejayaan program hari ini, saya ingin ucapkan terima kasih kepada semua komuniti yang terlibat sama, khususnya Haji Khair Nasaruddin, pengerusi Persatuan Penduduk yang menjadi Pengarah Majlis kali ini.
Makanan mungkin tidak mencukupi atau tidak semewah hotel, tapi sekurang-kurangnya ia adalah sambutan yang penuh kemesraan. Datang dengan hati yang terbuka, dan nikmatilah semangat kemasyarakatan dan dan persembahan daripada penduduk sendiri.
Dengan itu, saya mengakhiri kata-kata aluan saya dengan ucapan Selamat Hari Pekerja, Selamat Hari Raya Aidilfitri untuk semua.
Sekian, Salam Malaysia MADANI.
Andre Lai
Naib Pengerusi KEADILAN Wilayah Persekutuan
Ketua Cabang KEADILAN Wangsa Maju
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

