Pertemuan Khas Rubio-Lavrov Di Kuala Lumpur Sedang Diusahakan

Satu pertemuan khas antara Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Marco Rubio dan Menteri Luar Russia, Sergey Lavrov sedang diusahakan di Kuala Lumpur sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 di Kuala Lumpur pada 10 Julai 2025. Foto AFP
SUBANG JAYA, 10 Jul – Satu pertemuan khas antara Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Marco Rubio dan Menteri Luar Russia, Sergey Lavrov di sini sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 dan mesyuarat berkaitan sedang diusahakan, kata jurucakap Kementerian Luar Rusia, Maria Zakharova.
“Saya sahkan pertemuan seperti itu sedang diusahakan,” kata Zakharova sebagai menjawab soalan berkaitan kepada agensi berita RIA Novosti.
Lavrov telah tiba di sini untuk menyertai mesyuarat peringkat menteri hari ini dan esok.

Terdahulu, Lavrov tiba di Malaysia bagi lawatan dua hari sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN.
Pesawat khas yang membawa Lavrov serta delegasi, mendarat di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang pada 8:27 pagi, kurang sejam selepas ketibaan Rubio jam 7.39 pagi.
Ketibaan beliau disambut Setiausaha Bahagian Tugas-tugas Khas Kementerian Luar Negeri, Datuk Syed Mohamad Bakri Syed Abdul Rahman dan Duta Besar Rusia ke Malaysia, Naiyl M. Latypov.

Manakala Rubio tiba di sini lebih awal bagi menghadiri mesyuarat berkenaan dan ia juga adalah lawatan sulung Rubio ke Asia sebagai Setiausaha Negara selepas dilantik ke jawatan itu awal tahun ini.
Selain Lavrov, Menteri Luar China Wang Yi turut berada di ibu negara bagi menghadiri mesyuarat ASEAN, lantas menyaksikan pemimpin tiga kuasa besar dunia itu berkumpul di ibu negara.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
