Insiden Sungai Korok: PM Anwar, Dr Wan Azizah Sampaikan Salam Takziah Buat Putri Qisya, Keluarga

Pengerusi Persatuan Anak Muda MADANI Kedah, Datuk Zuraidi Rahim berbual dengan Putri Qisya Nur Izzat ketika menziarahi kanak-kanak itu di Taman Sri Aman, Jitra pada 10 Julai 2025. Foto Bernama

JITRA, 10 Jul – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menyampaikan salam takziah kepada Putri Qisya Nur Izzat, 12 dan waris yang lain susulan tragedi yang menimpa mereka sekeluarga.

Ucapan takziah tersebut disampaikan Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq Johari mewakili Anwar dan Dr. Wan Azizah ketika hadir bagi memberikan sokongan moral serta menyalurkan bantuan kepada kanak-kanak itu.

“Saya juga telah bercakap dengan pihak KPM (Kementerian Pendidikan) untuk memastikan kesihatan mentalnya tetap terjaga dan sesi kaunseling pun telah dijalankan dan difahamkan sudah ada jadual sesi kaunseling,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa dukacita dengan insiden yang meragut enam sekeluarga di Sungai Korok pada 7 Julai 2025. Foto X Anwar Ibrahim

AMK (Angkatan Muda KEADILAN) Kedah juga akan mendapatkan maklum balas susulan bagi memastikan kebajikan dan soal pendidikan Putri Qisya terus terjamin.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Anak Muda MADANI Kedah, Datuk Zuraidi Rahim, berkata kejadian tragis menimpa Putri Qisya sangat memberi kesan, bukan hanya kepada kanak-kanak itu, tetapi juga masyarakat secara umumnya.

“Kita hadir untuk memberi suntikan semangat kepada adik Qisya, diharapkan dia tidak kecewa atas ujian ini yang dia terpaksa lalui sepanjang hayatnya,” katanya kepada pemberita selepas menziarahi kanak-kanak itu di Taman Sri Aman, di sini.

Anggota bomba mengeluarkan kereta yang terjunam ke dasar Sungai Korok selepas mengeluarkan enam sekeluarga yang maut dalam kejadian pada 7 Julai 2025.

Beliau berkata, bagi memastikan nasib Putri Qisya terbela, pihaknya akan bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah bagi menguruskan segala keperluan khususnya berkaitan pendidikan.

“Kita bagi jaminan, setiap bulan kita akan beri sesuatu yang baik untuk adik Qisya dalam konteks pelajaran dia. Ini jaminan saya dengan kerjasama JPN Kedah,” katanya.

Dalam pada itu, Zuraidi turut menyambut baik kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkaitan cadangan membina pagar penghadang dan memasang lampu jalan di Jalan Sungai Korok.

Zuraidi berkata, perkara itu dilihat sebagai langkah terbaik dalam menangani isu keselamatan yang dibangkitkan sesetengah pihak sebagai punca beberapa insiden kemalangan jalan raya.

Zuraidi (dua dari kanan) menyambut baik kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkaitan cadangan membina pagar penghadang dan memasang lampu jalan di Jalan Sungai Korok.

Terdahulu pada 7 Julai, kereta Proton Iswara dinaiki ibu bapa Putri Qisya bersama empat adiknya dipercayai terbabas dan terjunam ke dalam Sungai Korok di Kampung Kemboja, dekat sini Sabtu lalu.

Ibu bapanya, Mohamad Azim Izat Ishak, 32, dan Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, serta empat adik, Putra Rayyan Nur Izzat, 9; Hawa Adriana Nur Izzat, 8; Annayla Humaira Nur Izzat, 7; dan Tuah Haydar, enam bulan ditemukan maut pada pagi Isnin.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *