Perolehan Aset Pertahanan Perlu Telus, Ikut Keutamaan – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Majlis Sarapan Mesra Wira Samudera di Kompleks Kuarters ATM Taman Samudera, Sandakan pada 27 September 2025. Foto Bernama

SANDAKAN, 27 Sep – Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan proses perolehan aset pertahanan negara perlu dilaksanakan secara telus, bijak serta mengikut keutamaan dan keperluan sebenar.

Perdana Menteri berkata, turutan keutamaan dalam setiap perolehan mesti ditentukan berdasarkan keperluan semasa serta kepakaran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), dan bukannya diputuskan oleh ejen atau syarikat luar.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, pendekatan yang tidak berpaksikan keperluan dan kepakaran sebelum ini telah menimbulkan pelbagai masalah, termasuk skandal besar perolehan kapal serta kelewatan projek pembinaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Himpunan dan Temu Rapat Umum Sempena 27 Tahun Reformasi KEADILAN di Dewan Yu Yuan, Sandakan, pada 26 September 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim

“Sistem perolehan ini mesti diperbetulkan. Bukan saya yang menentukan apa yang perlu dibeli, itu bidang kepakaran ATM. Namun, keutamaan perolehan mesti berdasarkan keperluan dan kepakaran, bukan ditentukan ejen, syarikat luar atau orang politik.

“Peruntukan tahun ini untuk Kementerian Pertahanan adalah yang tertinggi. Oleh itu, semua pihak bertanggungjawab memastikan perbelanjaan dibuat dengan telus, berhemah dan penuh tanggungjawab, kerana ia melibatkan wang rakyat,” katanya ketika berucap pada Majlis Sarapan Mesra Wira Samudera di Markas Wilayah Laut 2, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di sini, hari ini.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *