BUDI95 Benar-Benar Merupakan ‘Hadiah Buat Rakyat Malaysia’

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Himpunan dan Temu Rapat Umum Sempena 27 Tahun Reformasi KEADILAN di Dewan Yu Yuan, Sandakan, pada 26 September 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim
PENDAPAT, 27 Sep – Hari ini, kira-kira 300,000 anggota pasukan beruniform terdiri daripada polis dan tentera sudah mula menikmati pelaksanaan subsidi RON95 pada harga RM1.99 untuk rakyat Malaysia.
Dinamakan sebagai BUDI MADANI RON95 atau BUDI95, kejayaan menurunkan harga RON95 sebenarnya bertitik-tolak hasil daripada usaha tatakelola pentadbiran yang baik dan pembersihan amalan ketirisan kewangan negara, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tanpa mengira erti penat, sebaik tiba dari Kuala Lumpur, Anwar terus meninjau keadaan pasca banjir di Inanam, terbang ke Tawau dan akhirnya ke Sandakan bertemu seberapa ramai rakyat yang menanti kehadirannya.
Perdana Menteri berkata, usaha menurunkan harga petrol untuk dinikmati rakyat itu adalah janji KEADILAN dan Pakatan Harapan (PH) sejak dulu dan kini baru dapat direalisasikan menerusi program BUDI95 yang benar-benar merupakan ‘hadiah buat rakyat Malaysia’.

Bukan sedikit kecaman dan sindirian dilempar sesetengah pihak yang tidak mengenal erti bersyukur tetapi ironinya, rakyat di negara jiran seperti Indonesia memuji langkah kerajaan Malaysia menurunkan harga bahan bakar itu.
Tegas Anwar, usaha berkenaan dapat direalisasikan atas tekad Kerajaan MADANI memastikan negara ditadbir dengan telus serta amalan pengurusan kewangan negara yang baik dan terus membasmi rasuah.

“Ini janji kita sejak dahulu tetapi kita ambil masa (untuk merealisasikannya)…. hutang (negara) terlalu banyak, rasuah berleluasa, ketirisan dan kehilangan wang juga terlalu besar.
“Sebab itu, saya bersama rakan-rakan dalam Jemaah Menteri dan kepimpinan telah mengambil keputusan untuk ‘clear the mess’.

“Negara kita sebenarnya boleh jadi kaya, tetapi hanya jika kita ada sikap yang bersih dan jujur. Kalau tidak, kita tidak akan senang,” katanya.
Beliau yang juga Presiden KEADILAN, berkata demikian ketika berucap pada program Himpunan dan Temu Rapat Umum Sempena 27 Tahun Reformasi, di sini, malam tadi.

Perdana Menteri menekankan bahawa tiada negara lain termasuk negara pengeluar petrol, menurunkan harga bahan api itu untuk rakyat mereka, sebaliknya Malaysia mengambil langkah berani sedemikian untuk dinikmati rakyat.
“Arab Saudi, antara pengeluar petrol terbesar dunia pun harga RM2.60 seliter, tetapi Malaysia RM1.99 seliter untuk warganegara. Untuk warga asing, kita beri harga RM2.60.

“Ini usaha terbaik yang kita boleh buat untuk rakyat keseluruhan,” katanya.
Menerusi BUDI95, beliau berkata, kerajaan dijangka mendapat penjimatan antara RM2 bilion hingga RM3 bilion setiap tahun (mungkin lebih banyak daripada RM3 bilion) dan hasil penjimatan itu akan disalurkan semula kepada rakyat menerusi pelbagai bantuan lain.
Malah, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Belanjawan 2026 yang dijadual dibentangkan pada 10 Oktober depan, akan menggariskan lebih banyak bantuan dan inisiatif untuk dinikmati rakyat.

Jangan lupa, Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang telah diperluas kepada lebih 10 juta penerima dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada lebih 16 juta rakyat juga memperkukuhkan jaringan bantuan sosial bersasar semuanya bagi menangani cabaran kos sara hidup.
Alhamdulillah, segala perancangan dan pelaksanaan kerajaan dapat direalisasikan dengan adanya langkah seperti BUDI95, STR dan SARA yang amat signifikan malah akan ditambah baik dari semasa ke semasa.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
