Perlu Usaha Holistik Kurangkan Kadar Keciciran Murid Orang Asal

Kanak-kanak dari kalangan masyarakat orang asal suku kaum Kensiu berkongsi menggunakan telefon mudah alih di Kampung Lubuk Legong, Baling pada 2021. Foto Shahir Noordin

SERDANG, 26 Ogos – Kadar keciciran anak Orang Asal ke sekolah kini berkurangan berbanding 15 tahun lalu, menerusi pemberian pelbagai insentif dan pembinaan sekolah khas untuk mereka.

Bagaimanapun, hal itu masih berlaku ketika perubahan lokasi pembelajaran dari sekolah rendah ke sekolah menengah.

Pensyarah Kanan, Jabatan Sains Kemasyarakatan dan Pembangunan, Fakulti Ekologi Manusia (FEM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Mohd Roslan Rosnon, berkata secara umumnya komuniti itu sudah melalui pelbagai perubahan.

Komuniti itu katanya, bukan tidak suka ke sekolah tetapi isunya bagaimana pedagogi pendidikan negara tidak responsif terhadap budaya Orang Asal yang menyebabkan mereka berasa terasing dan kurang minat.

“Walaupun masyarakat Orang Asal adalah golongan etnik minoriti di negara tetapi mereka sudah berintegrasi dan menerima pembangunan.

“Namun isu kemiskinan masih membelenggu komuniti ini kerana lokaliti dan sumber ekonomi yang terhad,” katanya.

Selain itu katanya, isu hak tanah menjadi perjuangan yang panjang bagi masyarakat Orang Asal Semenanjung Malaysia kerana mereka tidak mendapat hak dan pemilikan terhadap tanah yang didiami.

Fadhlina Sidek menyantuni murid-murid orang asal ketika hadir membuat lawatan ke Sekolah Kebangsaan Sri Permai JHEOA Komprehensif 9 (K9), Gua Musang. Foto Bernama

Sedangkan dalam hal ini, Mohd Roslan berkata, tanah adalah semangat, jiwa dan darah mereka, manakala alam sekitar mempunyai hubungan rohani serta menjadi budaya turun temurun.

Tambahnya, istilah Orang Asal hanya digunakan untuk merujuk kepada orang asal di Semenanjung Malaysia.

“Ini berbeza di Malaysia Timur yang merupakan Orang Asal atau lebih dikenali sebagai peribumi Sabah dan Sarawak dan membentuk majoriti penduduk berstatus Bumiputera di negara ini,” katanya.

Roslan berkata, walaupun terdapat pelbagai kajian mengenai masyarakat Orang Asal namun, masih banyak isu berkaitan yang belum dapat diselesaikan. Hal ini katanya, menyebabkan mengapa beliau tertarik untuk mengkaji mengenai Orang Asal.

Roslan yang berkepakaran dalam Antropologi dan Sosiologi pengkhususan Kajian Orang Asal (Indigenous Studies) dan pembangunan komuniti berkata, beliau sudah terbabit dalam kajian Orang Asal selama 16 tahun.

Fadhlina Sidek murid Orang Asli ketika lawatan ke SK Sri Permai JHEOA Komprehensif 9 (K9) di Gua Musang sempena Jelajah Pendidikan MADANI Sekolah Murid Orang Asal. Foto Bernama

Berkongsi pengalaman kajian di peringkat antarabangsa, Roslan berkata, beliau menjalankan kajian perbandingan komuniti Orang Asli Semenanjung Malaysia dan Aborigine People di Australia ketika di peringkat doktor falsafah..

“Masyarakat Aborigine dan Torres Strait Islander di Australia adalah kumpulan teramai jadi komuniti ini sering menjadi agenda negara justeru, inisiatif yang dijalankan di sana adalah lebih tersusun dan komprehensif serta mempunyai pelan jangka masa panjang berbeza di negara ini,” katanya.

Selain Australia, kepakaran beliau turut dirujuk dalam menjalankan kolaborasi penyelidikan mengenai masyarakat peribumi di New Zealand, Indonesia dan Thailand.

Dalam pada itu, beliau yang pernah dilantik sebagai Ahli Task Force, Makmal Hala Tuju Pendidikan Orang Asal, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berkata kerajaan turut berusaha menyelesaikan permasalahan itu dengan melaksanakan Sekolah Model Khas K11 bagi menjamin pendidikan masyarakat Orang Asal dan pelbagai inisiatif lain sudah disediakan untuk mereka menuntut ilmu hingga ke menara gading.

Untuk rekod, masyarakat Orang Asal Semenanjung Malaysia adalah penduduk peribumi yang begitu akrab dengan alam sekitar serta majoritinya masih mengamalkan kepercayaan animism.

Hari ini masyarakat Orang Asal berjumlah kira-kira 215,000 serta mempunyai 18 suku kaum Orang Asal di sekitar Semenanjung Malaysia iaitu Jakun, Orang Kanaq, Orang Kuala, Orang Seletar, Semelai, Temuan, Bateq, Jahai, Kensiu, Kintak, Lanoh, Mendriq, Che Wong, Jahut, Mahmeri, Semai, Semoq Beri dan Temiar.

  • Oleh Nur Eszereen Juferi


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *