Peranan UiTM Majukan Pendidikan Orang Melayu, Bumiputera Berdikari – PM Anwar

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Norashikin bersama Fadillah (duduk tujuh kiri) bergambar pada majlis Malam Gala 25 Tahun UiTM di Shah Alam, Selangor. Foto Bernama

SHAH ALAM, 28 Ogos – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata peranan yang dimainkan oleh Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam memajukan pendidikan orang Melayu dan Bumiputera telah membolehkan mereka berdikari.

Perdana Menteri berkata dalam keghairahan arus pendidikan dunia mengejar kemajuan dan kemodenan, UiTM berjaya mengekalkan malah memartabatkan citra Bumiputera serta pemikiran yang lebih mengakar kepada konteks tempatan.

Justeru itu, Perdana Menteri yakin sambutan 25 tahun penubuhan UiTM sebagai sebuah universiti yang disambut hari ini akan menyuntik semangat buat seluruh warga institusi itu agar bersama-sama meneruskan kembara akademik dengan memandang ke hadapan untuk mencipta lebih banyak kejayaan.

“Antara pencapaian terhebat ialah UiTM kini berada pada kedudukan ke-587 dalam QS World University Rankings 2025 manakala di tempat ke-98 dalam QS Asia University Rankings 2024.

“Kita juga dapat saksikan pelajar UiTM telah berjaya menempa nama di persada dunia dengan pencapaian skor tertinggi dalam peperiksaan Association of Chartered Certified Accountant (ACCA),” katanya ketika berucap pada Malam Gala Sempena Sambutan 25 Tahun UiTM sebagai sebuah universiti di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC) di sini hari ini.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof yang mewakili Anwar.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *