Perkukuh Peranan Pasaran Modal Menerusi CIMP 2026-2030 – PM Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri peluncuran Pelan Induk Pasaran Modal (CMP) 2026-2030 di Kuala Lumpur pada 9 Mac 2026. Foto Facebook Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR, 9 Mac – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Pelan Induk Pasaran Modal Keempat 2026–2030 (CMP) akan memperkukuh peranan pasaran modal negara sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi yang mampan, inovatif dan lebih inklusif.
Pelan induk itu memberi tumpuan kepada empat keutamaan utama, iaitu mengukuhkan usaha pengumpulan modal, menggalakkan dinamisme perniagaan, menjadikan kemampanan sebagai pemacu nilai serta memperluas penyertaan bermakna dalam ekonomi.

Menurut Perdana Menteri, usaha itu sejajar dengan agenda transformasi ekonomi negara, termasuk pelaksanaan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) bagi mempercepat peningkatan industri, memperdalam kerumitan ekonomi serta melahirkan syarikat tempatan yang mampu bersaing di peringkat serantau dan global.
“Pasaran modal negara perlu menyokong peralihan ini dengan menyediakan laluan bermakna kepada syarikat untuk mendapatkan pembiayaan secara lebih cekap, berkembang dengan yakin dan berinovasi secara berterusan,” kata beliau pada ucaptama majlis pelancaran CMP 2026–2030 hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata pelan induk itu turut melengkapi pelaksanaan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang menggariskan hala tuju negara ke arah daya tahan iklim dan masa depan rendah karbon.
Menurutnya, pasaran modal berperanan penting untuk menggerakkan modal secara besar-besaran serta menyalurkan pelaburan ke sektor yang mampu memacu pertumbuhan mampan.

“Dengan tadbir urus iklim dan rangka kerja karbon yang semakin kukuh, sektor swasta perlu tampil ke hadapan untuk menerajui peralihan ini,” katanya.
Anwar turut menegaskan kepentingan memperluas saluran kepada syarikat tempatan untuk memasuki pasaran awam, termasuk meningkatkan penyertaan Bumiputera, khususnya syarikat yang berpotensi untuk disenaraikan di Bursa Malaysia.

Menurut beliau, langkah itu penting dalam membina ekonomi yang lebih inklusif serta berasaskan penyertaan yang lebih meluas.
Beliau berkata perkembangan teknologi yang pesat juga menuntut syarikat Malaysia meningkatkan skala operasi, memperkukuh kehadiran serantau serta bersaing dengan syarikat terbaik dunia.

Sehubungan itu, di bawah CMP, perantara pasaran modal akan memainkan peranan penting dalam mewujudkan laluan pembiayaan berasaskan pasaran bagi membantu syarikat Malaysia, termasuk entiti perniagaan ASEAN milik Malaysia (MyABE) dan perusahaan milik Bumiputera, berkembang ke peringkat serantau.
Dalam pada itu, Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata pasaran modal Malaysia ketika ini bernilai sekitar RM4.3 trilion, lebih besar berbanding aset perbankan berjumlah RM3.8 trilion, dan menerusi CMP 2026-2030 saiz pasaran itu diunjur berkembang RM5.8 hingga RM6.3 trilion dalam tempoh lima tahun akan datang.
“Pelan induk itu adalah pelan yang bercita-cita tinggi dan SC mensasarkan untuk mengembangkan saiz pasaran modal sebanyak RM1.5 hingga RM2 trilion dalam tempoh lima tahun.”katanya.
- Oleh Amanda Lopez
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
