PM Anwar Bincang Situasi Terkini Asia Barat Dengan Pemimpin Kuwait, Oman

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan perbualan dengan Perdana Menteri Kuwait, Sheikh Ahmad Abdullah Al-Ahmad Al-Sabah, dan Menteri Luar Oman, Sayyid Badr Albusaidi pada 9 Mac 2026. Foto X Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 9 Mac – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengadakan perbincangan menerusi telefon bersama Perdana Menteri Kuwait, Sheikh Ahmad Abdullah Al-Ahmad Al-Sabah dan Menteri Luar Oman, Sayyid Badr Albusaidi bagi bertukar pandangan mengenai perkembangan semasa di Asia Barat susulan konflik yang melibatkan Israel, Amerika Syarikat (AS) dan Iran.

Menerusi kemaskini di media sosial, Anwar menzahirkan simpati serta sokongan Malaysia kepada Kuwait dan Oman yang berdepan cabaran terhadap kedaulatan, keselamatan serta infrastruktur negara susulan situasi tersebut.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan perbualan telefon dengan Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani, kemudian dengan Putera Mahkota dan Perdana Menteri Bahrain, Putera Salman bin Hamad Al-Khalifa, mengenai perkembangan semasa di Qatar dan Bahrain pada 6 Mac 2026. Foto PMO

Menurutnya, Malaysia turut merakamkan penghargaan terhadap komitmen kedua-dua kerajaan dalam memastikan keselamatan serta kebajikan rakyat Malaysia yang berada di negara berkenaan.

“Kami sependapat bahawa semua pihak perlu mengutamakan pendekatan damai serta menahan diri daripada sebarang tindakan yang boleh menjejaskan kestabilan serantau,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan perbincangan dengan Menteri Luar Iran, Seyed Abbas Araghchi menerusi panggilan telefon pada 6 Mac 2026. Foto Instagram Anwar Ibrahim

Anwar yang juga Menteri Kewangan turut berharap keberkatan Ramadan dapat memperkukuh perpaduan ummah serta membuka jalan ke arah keamanan dan kestabilan yang lebih berkekalan di rantau berkenaan.

Untuk rekod, selain Kuwait dan Oman, Anwar turut mengadakan perbualan telefon dengan pemimpin dari Iran, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar dan Bahrain membincangkan situasi semasa di rantau berkenaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan perbualan telefon dengan Presiden UAE, Sheikh Abdullah bin Zayed Al Nahyan, yang bertukar pandangan mengenai perkembangan semasa di rantau Timur Tengah pada 6 Mac 2026. Foto PMO


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *