KEADILAN Pertimbang Tindakan Terhadap Aktivis Sertai Parti Cuma Jadi Bahan Jenaka

KEADILAN sedang meneliti tindakan undang-undang terhadap Tamim Dahari bagi menghalang perbuatan ‘menganjing’ pada masa akan datang yang boleh mencetuskan ketidakharmonian di sebalik permohonan keanggotaan.

KUALA LUMPUR, 9 Mac – KEADILAN kini sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap seorang aktivis yang mengaku ‘menganjing’ parti itu dengan memohon keahlian dan menggunakan logo parti itu di media sosial.

Timbalan Setiausaha Agung KEADILAN, Aidi Amin Yazid berkata, parti itu memandang serius setiap permohonan keahlian dan mengharapkan pemohon sepatutnya berkongsi nilai yang sama.

Tamim Dahri Abdul Razak mengaku beliau sekadar ‘menganjing’ KEADILAN dan penyokongnya dengan mendaftar untuk menyertai parti itu.

Beliau berkata, partinya mengambil maklum tentang pengakuan aktivis tersebut bahawa permohonan keahliannya hanyalah gurauan.

“(Individu tersebut) telah mencemarkan nama baik parti dengan menyalahgunakan logo dalam hantaran media sosialnya sebelum ini.

“KEADILAN sedang meneliti tindakan undang-undang terhadapnya bagi menghalang perbuatan ‘menganjing’ pada masa akan datang yang boleh mencetuskan ketidakharmonian di sebalik permohonan keahlian,” katanya.

Beliau menambah, keahlian aktivis tersebut juga masih belum disahkan walaupun permohonan diterima secara dalam talian.

Menurut hantaran di media sosial sebelum ini melaporkan aktivis Tamim Dahri Abdul Razak mengaku beliau sekadar ‘menganjing’ KEADILAN dan penyokongnya dengan mendaftar untuk menyertai parti itu.

Menurutnya, pengumuman terbukanya mengenai perkara itu tidak lebih daripada sekadar ‘bahan jenaka’.

“Benda gurau bila kena terangkan, jadi tak best. Yelah, nanti aku hantar borang PAS pulak. Ok tak pembaris?” katanya menerusi Facebook semalam.

Khamis lepas, Tamim memuat naik dua hantaran di Facebook, menyuarakan hasrat untuk menyertai KEADILAN sambil meminta borang pendaftaran, kemudian memaparkan permohonan dalam taliannya yang telah lengkap dan sedang menunggu kelulusan.

Setiausaha Agung KEADILAN, Fuziah Salleh semalam menjelaskan, permohonan tersebut perlu melalui beberapa proses terlebih dahulu sebelum diluluskan.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *