Kepalbagaian Kaum Jadi Kekuatan, Bukan Medan Perseteruan – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Majlis Makan Malam Sambutan Hari Gawai Dayak Peringkat Sarawak 2025 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada 22 Jun 2025.
KUCHING, 22 Jun – Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan, kepelbagaian kaum di negara ini harus dijadikan sebagai satu kekuatan dalam pengukuhan perpaduan negara dan bukannya dijadikan sebagai medan perseteruan atau untuk menunjukkan kehebatan serta ego masing-masing.
Dalam ucapannya sempena Majlis Makan Malam Sambutan Hari Gawai Dayak Peringkat Sarawak 2025 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, malam tadi, Perdana Menteri menegaskan, kepelbagaian tersebut menyebabkan berlakunya permusuhan kaum dan agama sehingga akhirnya membebankan negara dan meninggalkan kesan kepada rakyat.
“Perpaduan dalam kepelbagaian kaum ini semakin diperlukan untuk memastikan Malaysia sentiasa kukuh dalam keadaan geopolitik dunia yang tidak menentu sekarang.

“Jangan ambil mudah masalah yang mungkin terjadi jika tidak bersatu. Keadaan geopolitik kini sangat mencabar dan membimbangkan.
“Masa depan tiada jaminan namun apa yang boleh kita pastikan ialah Malaysia yang bersatu,” katanya.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Zahid Hamidi dan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Dalam pada itu, Anwar menghargai kepelbagaian yang wujud di bumi kenyalang yang wajar dijadikan contoh negeri-negeri lain berteraskan konsep ‘Segulai Sejalai’ (Seiring Sejalan).

Untuk rekod, Majlis Makan Malam Gawai Dayak tersebut merupakan acara kemuncak sambutan Gawai Peringkat Negeri Sarawak, yang dihadiri Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta Abang Johari.
Kehadiran Perdana Menteri ke majlis tersebut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan persekutuan dalam menghargai kepelbagaian budaya masyarakat Malaysia serta memperkukuh hubungan erat antara kerajaan persekutuan dan Sarawak dalam semangat Keluarga Malaysia.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
