Perkongsian Strategik Komprehensif Tingkat Daya Saing Malaysia Di Pentas Global

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan mesyuarat meja bulat bersama pemimpin-pemimpin industri dan perniagaan meliputi pelbagai sektor yang berpusat di India seperti Biocon, Reliance Industry Limited, Indian Oil, BEML Limited dan JK Tyre. Foto Facebook Anwar Ibrahim

PENDAPAT, 22 Ogos – Hubungan diplomatik antara Malaysia dan India terjalin sejak Malaysia merdeka pada 1957. Kedua-dua negara mempunyai hubungan kukuh dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi, perdagangan, budaya dan pendidikan.

India adalah salah satu rakan dagangan utama Malaysia di Asia Selatan. Kedua-dua negara aktif dalam perdagangan dua hala membabitkan eksport dan import pelbagai barang seperti minyak sawit, elektronik, tekstil dan farmaseutikal.

Sementara itu, Malaysia adalah destinasi pelaburan penting bagi syarikat India dalam sektor tertentu seperti teknologi maklumat (IT), perbankan dan tenaga. Paling penting, hubungan Malaysia dengan India sejak sekian lama memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara bersahabat ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan syarahan umum bertajuk ‘Towards a Rising Global South: Leveraging Malaysia-India Ties’ di Sapru House Indian Council of World Affairs (ICWA) di New Delhi, India. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Keakraban dua negara diperkukuhkan lagi menerusi lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke India dari 19 hingga 21 Ogos, khasnya bertemu rakan sejawatannya, Perdana Menteri India, Narendra Modi di samping melakukan pertemuan dengan konglomerat negara berkenaan bagi membincangkan prospek pelaburan serta perniagaan baharu.

Lawatan rasmi Perdana Menteri itu turut menyaksikan komitmen Malaysia dalam usaha meningkatkan hubungan antara kedua-dua negara daripada Perkongsian Strategik Dipertingkat (ESP) kepada Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP).

Ini bermakna kerjasama Malaysia-India akan berada pada tahap baharu pada masa depan.

Ia sekali gus bakal membuka prospek baharu kepada kedua-dua negara terutama bagi pemegang taruh, syarikat korporat, komuniti perdagangan, usahawan, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia untuk meneroka peluang perniagaan, pelaburan dan kerjasama ekonomi di peringkat global.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir menyampaikan syarahan umum bertajuk ‘Towards a Rising Global South: Leveraging Malaysia-India Ties’ di Sapru House Indian Council of World Affairs (ICWA) di New Delhi, India. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Sementara itu, syarahan bertajuk ‘Towards a Rising Global South: Leveraging Malaysia-India Ties’ di sampaikan Perdana Menteri turut menjadi petunjuk utama komitmen Malaysia memperkasakan lagi hubungan diplomatik dan ekonomi dengan India, sebagai jambatan menghubungkan negara ini dengan blok negara selatan, diketahui pembangunan ekonominya lebih rendah berbanding negara maju.

Blok negara selatan juga sering dianggap sebagai suara bagi negara membangun dan memainkan peranan penting membangkitkan kepentingan mereka di pentas antarabangsa. Didorong dengan penyertaan Malaysia dalam blok BRICS, inisiatif Malaysia ini harus disambut negara blok selatan bagi mengimbangi pengaruh negara blok utara.

Dalam hal ini, Malaysia perlu memeta hubungan dengan negara BRICS di tengah ketegangan geopolitik global, terutama dalam konteks persaingan kuasa besar seperti antara China dan Amerika Syarikat (AS). Hubungan ekonomi dengan BRICS yang turut dianggotai India menawarkan peluang besar untuk Malaysia mengembangkan eksport, menarik pelaburan luar dan memanfaatkan teknologi serta kepakaran daripada negara terbabit untuk pembangunan domestik.

Bermakna, menerusi CSP bersama India serta mengukuhkan hubungan diplomatik dengan China, hubungan ekonomi antara Malaysia dan negara BRICS adalah perancangan strategik bagi pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negara, serta memastikan Malaysia kekal relevan dalam persaingan ekonomi global semakin kompleks.

  • Kali pertama disiarkan di Berita Harian


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *