Runtuhan Tebing Sungai Ancam 200 Buah Rumah, Kerajaan Kelantan Digesa Lebih Proaktif

Aina Sayuty (bertopi) bersama beberapa petugas JPS meninjau keadaan semasa tebing Sungai Kelantan yang terhakis sejak 2014 menyebabkan kegusaran di kalangan penduduk.

PASIR MAS, 22 Ogos – Setiap kali musim tengkujuh melanda Kelantan, rata rata penduduk yang tinggal di tebing sungai akan merasa bimbang dan gusar apabila hujan turun dengan lebat kerana menyebabkan aliran air sungai yang besar dan deras.

Selain berisiko tebing sungai akan runtuh, ia juga boleh mengakibatkan malapetaka kepada penduduk yang bimbang hakisan berkenaan menjejaskan struktur kediaman mereka.

Prihatin dengan kejadian yang sering berlaku di daerah ini, Ketua Cabang KEADILAN Pasir Mas Naziratul Aini Muhammad Sayuty atau Aina Sayuty turun padang bersama Pegawai Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) daerah Pasir Mas meninjau sendiri ke kawasan tebing sungai yang runtuh.

Antara kawasan hakisan tebing di Sungai Kelantan yang berisiko menjejaskan kira-kira 200 penduduk di sepanjang tebing sungai itu. Foto kecil Aina Sayuty

Menurutnya antara usaha yang dibuat oleh penduduk sekitar tebing Sungai Kelantan adalah menambun sendiri tebing sungai yang runtuh dan ia diakui seorang penduduk, Soo Chun Eng 62 tahun dari Kampung Mekasar di sini terpaksa menambun tanah menggunakan wang sendiri hampir RM30,000.

Aina yang juga Pengarah Komunikasi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Kelantan menambah, kira-kira 200 rumah penduduk berdekatan berisiko menghadapi kejadian berkenaan jika tiada langkah segera dilakukan.

“Perkara ini telah lama berlaku sejak tahun 2014 lagi dan berlarutan sehinggalah sekarang.

Keadaan tebing Sungai Kelantan yang terhakis bertambah buruk setiap kalli musim hujan lebat melanda dan menjejaskan kehidupan 200 penduduk sepanjang tebing sungai.

“Walaupun usaha telah dibuat berkenaan tebing sungai yang runtuh itu dengan konkrit, namun masih banyak kawasan sepanjang tebing sungai di bahagian Pasir Mas terus menerus berisiko mengalami tebing runtuh setiap kali musim tengkujuh tiba,” jelasnya.

Difahamkan pasukan teknikal JPS sentiasa melakukan pemantauan sepanjang sungai ini dari semasa ke semasa agar tebing sungai tidak terhakis dengan teruk serta langkah keselamatan penduduk dititik berat kan.

Selain langkah-langkah sedia ada, Aina memberitahu beberapa pendekatan lain perlu diusahakan, antaranya mengaktifkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan alam sekitar, sungai dan pokok agar penduduk terbabit mendapatkan maklumat berkaitan di sepanjang tebing sungai itu.

Petikan daripada kajian berkenaan pokok vetiver yang dijangka mampu mengurangkan kesan hakisan di tebing sungai.

Melakukan kajian lebih lanjut penyelesaian “soft solution” atau secara alami juga diusahakan berbanding terlalu bergantung kepada “hard solution” atau pendekatan bahan konkrit yang pasti menelan kos tinggi.

Contohnya penggunaan pokok vetiver dan buluh sebagai salah satu kaedah yang berkesan sebagai tanaman tutup bumi di tebing sungai juga boleh dilakukan segera.

Beliau dan penduduk setempat amat berharap Kerajaan Negeri segera turun padang melihat dengan lebih dekat permasalahan berkaitan bukan hanya menunggu musibah melanda baru tindakan diambil.

Hakisan sepanjang Sungai Kelantan di kawasan Kampung Pasir Pasit, Chetok juga menjejaskan kehidupan penduduk di sepanjang sungai.

“Usaha Kerajaan Perpaduan menyalurkan bantuan ratusan juta ringgit menerusi projek tebatan banjir tahun lepas harus dipuji kerana kecaknaan dan keperihatinan YAB PMX kepada rakyat Kelantan walaupun ditabdir pembangkang.

“Sewajarnya kerajaan negeri sebagai pembangkang turut menunjukkan teladan serupa kepada semua rakyat tanpa mengira fahaman politik dan bukan mengharapkan Kerajaan Perpaduan semata-mata menyelesaikan semua isu di negeri ini.

“Inilah masanya komitmen kerajaan negeri dizahirkan dalam bentuk tindakan bukan hanya menyalahkan pihak lain atas ketidak cekapan mereka memerintah negeri ini,” tegasnya.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *