Isu Baju Batik: MP Pas Mohon Maaf Kepada PM Anwar

Ahmad Amzad memohon maaf kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana memfitnah baju batik yang dipakai Perdana Menteri di Dewan Rakyat pada 31 Julai 2025.

KUALA LUMPUR, 31 Jul – Setelah menerima kecaman bertalu-talu, Ahli Parlimen Kuala Terengganu daripada Pas, Ahmad Amzad Hashim akhirnya memohon maaf kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan kenyataannya di Facebook yang mendakwa baju batik dipakai Perdana Menteri ketika pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) pada Khamis bercorak asal Indonesia.

Isu berkenaan tidak lama timbul selepas seorang lagi ahli parlimen Pas, Ahmad Fadhli Shaari menghina rakyat Thailand dan Kemboja susulan penyebaran karikatur binatang juga di Facebook beberapa hari lalu.

Hantaran Ahmad Amzad yang dipadam kerana memfitnah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Facebook sebelum memohon maaf menerusi hantaran berasingan pada 31 Julai 2025.

Ahmad Amzad mengakui kesilapannya dan telah memadamkan hantaran terdahulu yang disifatkan hanya sebagai ‘teguran kecil’ selepas menerima maklum balas daripada beberapa usahawan batik termasuk pengeluar baju batik dipakai Anwar sendiri, Bujins Batik.

“Pemilik Bujins Batik menjelaskan ia keluaran mereka. Saya tidak akan pertahankan khilaf saya dan hanya sedar sebentar tadi dimaklumkan pegawai saya kerana saya dalam kenderaan sepanjang perjalanan dari Kuala Lumpur kembali ke Kuala Terengganu tidak mengikuti perkembangan hantaran tersebut.

“Yang itu memang salah saya dan perlu saya betulkan segera,” katanya.

Hasilnya, kecaman demi kecaman diterima Ahmad Amzad di ruangan komen setelah mengakui kesilapannya tidak menyelidik terlebih dahulu corak atau asal-usul baju batik berkenaan.

“Tula..dlm byk2 masaloh rakyat,hok remeh xdok faedoh jgk g cari..ce (cuba) cari jln penyelesaian masalah dalam parlimen KT macam masaloh kutipan sampoh ke..ade jgk faedoh nye..,” tulis Jat Cummi.

Seorang lagi menulis “Orang suruh ulas pasal pembentangan rmk13 tu…agenda negara…
Yg YB nampak pasal baju je? Rugi besar rakyat kawasan YB,” sindir Muhammad Hakim.

Manakala Mohd Shaharuddin Abd Latiff menulis “Kalau ikut ajaran Islam ,kita disuruh Tabayyun. Kalau ikut ajaran Syaitan, kita disuruh Tibaiyun,” sindirnya.

Komen pedas dilontar Farieza Arianna yang menulis: “Asal benda boleh fitnah ye tak? Fitnah dulu, delete dan maaf kemudian. Padahal posting asal fitnah tu dah berapa ramai yg share, like dan komen. Dah jadi dosa berantai. Tahniah, inilah kehebatan pembang*ang (ejaan disengajakan) yg tiada tandingan 👏👍“.

Untuk rekod, ini bukan kali pertama Ahmad Amzad ‘mencari pasal’ dengan Perdana Menteri.

Anwar pernah menyaman Ahmad Amzad berhubung dakwaan kenyataan berbaur fitnah bahawa beliau berbohong menerima gaji RM1 ketika menjadi Penasihat Ekonomi Selangor.

Peguam, Datuk SN Nair yang mewakili Anwar, bagaimanapun berkata kedua-dua pihak mencapai penyelesaian di luar mahkamah dan bersetuju untuk mengeluarkan satu kenyataan awam.

Penyelesaian itu direkodkan di hadapan Hakim Datuk Hassan Abdul Ghani di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada 5 Mac lalu.

Anwar mendakwa, kenyataan fitnah itu antara lain membawa maksud beliau tidak boleh dipercayai dan tidak jujur mengenai penerimaan jutaan ringgit daripada Kerajaan Selangor sebagai Penasihat Ekonomi, menipu orang ramai dengan menyatakan menerima gaji RM1 sebagai Penasihat Ekonomi, serta melakukan kesalahan jenayah dan mengkhianati mandat rakyat.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *