Perayauan ASEAN: Malaysia-Timor-Leste Teroka Inisiatif Bersama – Fahmi

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, mengiringi lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Timor-Leste pada 23 dan 24 September 2025. Foto Facebook Fahmi Fadzil
DILI, 25 Sep – Malaysia akan bekerjasama dengan Timor-Leste untuk melaksanakan kemudahan perayauan (roaming services) ASEAN bagi memperkukuh keterhubungan digital, menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur bulan depan.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) disaran mengadakan rundingan segera dengan syarikat telekomunikasi bagi menyelaras pelaksanaan inisiatif itu.
“Banyak syarikat telekomunikasi mempunyai pelan perayauan masing-masing, tetapi kita mahu wujudkan perayauan ASEAN yang lebih menyeluruh.

“Dengan ini, pelancong Malaysia ke Dili boleh menikmati akses internet lebih mudah dan berpatutan,” katanya selepas menghadiri sidang media bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini, semalam.
Fahmi berkata, pengalaman Malaysia melaksanakan rangkaian 5G dengan pantas, liputan meluas dan harga berpatutan boleh dikongsi dengan Timor-Leste, khususnya bagi memperkukuh infrastruktur telekomunikasi.
Beliau berkata, kira-kira 15 peratus daripada 1.4 juta penduduk Timor-Leste mempunyai telefon bimbit, sekali gus menunjukkan potensi kerjasama luas dalam bidang digital.

Selain itu, Fahmi mengesyorkan Bernama, RTM dan MCMC menjalin kerjasama bersama agensi seumpamanya di Timor-Leste, termasuk menjemput wartawan negara itu mengikuti kursus di Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR).
“Langkah ini akan membantu meningkatkan profesionalisme kewartawanan, memperkukuh kapasiti media dan pendedahan kepada teknologi baharu,” katanya.
Fahmi berkata, lawatan rasmi dua hari Anwar ke Timor-Leste yang berakhir semalam, amat signifikan kerana ia lawatan pertama Perdana Menteri Malaysia selepas 22 tahun dan berlangsung hanya beberapa minggu sebelum negara itu diterima sebagai anggota ASEAN ke-11.
“Detik bersejarah ini bakal menyaksikan penyertaan Timor-Leste secara rasmi ke dalam ASEAN ketika Malaysia menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ke-47, sesuatu yang amat bermakna bagi hubungan dua hala dan rantau ini,” katanya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
