‘Anda Layak Dapat Subsidi RON95?’ Netizen Kongsi Kegembiraan

Warganet teruja berkongsi kelayakan menerima subsidi RON95 menerusi insiatif BUDI95 yang akan bermula pada 30 September 2025.

KUALA LUMPUR, 25 Sep – Warganet memulakan ‘cerita’ pagi ini dengan membanjiri media sosial berkongsi tangkap layar status kelayakan mereka untuk menerima manfaat program Budi MADANI RON95 (Budi95) yang diumumkan kerajaan baru-baru ini.

Fenomena itu memperlihatkan keterujaan rakyat selepas menerima pengesahan rasmi bahawa mereka layak menikmati harga petrol RON95 pada kadar RM1.99 seliter bermula 30 September ini, berbanding harga semasa RM2.05 seliter.

Rata-rata pengguna media sosial meluahkan rasa syukur dan teruja kerana penjimatan enam sen seliter itu dijangka mampu mengurangkan beban kos sara hidup, khususnya bagi mereka yang menggunakan kenderaan setiap hari untuk ke tempat kerja.

“Pagi yang bersemangat ya hari ini. Sebelum masuk pejabat, semak dulu kelayakan Budi95. Seronok baca ‘Anda layak untuk manfaat Budi95’. Jimat besar la lepas ni minyak kereta,” kata Nor Fazzura.

“Alhamdulillah, layak Budi95. Tapi minyak kereta dah nak habis ni, nak tunggu 30 September lambat lagi, ke ada abang polis…abang askar nak berkawan dengan saya? Dapat isi minyak murah awal,” seloroh Rasmirah.

Selain itu, ada juga yang berkongsi perancangan penjimatan bulanan mereka, dengan menganggarkan kos bahan api dapat dikurangkan sehingga hampir RM200 sebulan bagi pengguna yang mengisi penuh tangki kenderaan beberapa kali seminggu.

Warganet teruja berkongsi kelayakan menerima subsidi RON95 menerusi insiatif BUDI95 yang akan bermula pada 30 September 2025.

“Yeay…jimat RM200 sebulan lepas ini. Boleh guna untuk keperluan lain,” kata Raja Ali.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelaksanaan petrol RON95 pada harga RM1.99 berbanding RM2.05 seliter bermula 30 September ini bagi rakyat tempatan tanpa mengambil kira tahap pendapatan di bawah program Budi95.

Katanya, bagi bukan warganegara pula, harga RON95 adalah pada anggaran RM2.60 bermula tarikh yang sama.

Tambah Anwar, sebelum tarikh kuat kuasa dan sebagai penghargaan, warga polis dan tentera akan mula menikmati harga RON95 RM1.99 seliter pada 27 September, manakala penerima STR (Sumbangan Tunai Rahmah) pada 28 September.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *