Perantau Mula Pulang Ke Kampung, Aliran Trafik Mula Tinggi

Paparan CCTV LLM di Plaza Tol Gombak menuju pantai timur pada jam 8.04 malam tadi. Foto LLM
KUALA LUMPUR, 27 Mar – Aliran trafik dilaporkan tinggi sehingga menjangkakan kelewatan selama satu jam dari arah Gombak menghala ke Genting Sempah setakat pukul 7 petang tadi.
Ini disaksikan menerusi televisyen litar tertutup (CCTV) Lembaga Lebuh Raya (LLM) yang menunjukkan kesesakan juga berlaku disebabkan kemalangan di Terowong Genting Sempah yang menghalang lorong kanan kira-kira jam 5.30 petang.
Meskipun kenderaan terbabit kemalangan telah dialihkan, trafik kelihatan masih bergerak perlahan disebabkan pertambahan kenderaan.

Laluan bertentangan pula dilihat masih lancar dan difahamkan pihak konsesi lebuh raya sedang memantau rapat situasi terkini.
Sementara itu, aliran trafik di Lebuh Raya Utara Selatan arah utara juga dilaporkan tinggi dan sesak di Kilometer (KM) 354.4 di Sungkai.
Situasi sama juga berlaku di Lebuh Raya Utara Selatan arah selatan di KM276.1 di Seremban ekoran anak perantau yang mula pulang ke kampung untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Diskaun tol sebanyak 50 peratus pula bermula tengah malam ini bagi kenderaan kelas 1.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
